Terkini

Parti Pekerja-pekerja Malaysia lulus tukar nama kepada Parti Amanah Negara.

PERTUBUHAN PEKERJA MALAYSIA KINI SEDIA SEPENUHNYA JADI PARTI AMANAH NEGARA ATATU RINGKASNYA AMANAH, TEGAS SUA AMANAH, ANUAR TAHIR

Parti Pekerja-pekerja Malaysia semalam meluluskan pertukaran namanya kepada Parti Amanah Negara (Amanah) di samping menukar logo dan benderanya pada satu mesyuarat agung luar biasa (EGM). Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata logo dan bendera baharu parti itu akan dilancarkan sepenuhnya pada satu perhimpunan yang bakal diadakan 16 September ini. EGM semalam adalah yang kedua diadakan parti itu selepas yang pertama pada bulan lalu.

Pada EGM Ogos, mereka mencapai kata sepakat menukar kepimpinan parti itu kepada kepimpinan baru iaitu yang dibarisi pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB), bagi membolehkan mereka mengambil alih parti itu daripada kepimpinan lamanya.

Anuar yang sebelum ini terlibat membentuk Parti Keadilan Nasional (PKN), menceritakan bagaimana pihaknya boleh mengambil alih parti itu.

"Apabila kami berusaha mencari satu wadah baharu untuk bergerak, kami temui nama parti pekerja ini yang ditubuhkan sejak 1978 dan pernah bertanding di Sungai Besi dalam pilihan raya umum selepas itu.

"Kami jumpa setiausaha agungnya, Gopalan K Papachan. Beliau seorang yang sangat dinamik.

"Apabila mendengar hasrat kami itu, beliau sendiri sedia serahkannya kerana percaya kami akan meneruskan perjuangan untuk memberikan hak kepada rakyat dengan sewajarnya," kata Anuar.

Selepas beberapa siri perbincangan, Gopalan menyatakan persetujuan rakan-rakannya yang lain dan beliau sendiri akan turut serta dalam parti ini bagi meneruskan kesinambungannya, kata Anuar.

Sebelum ini, beliau berpengalaman menguruskan pembentukan PKN yang ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat atau PKR sekarang, daripada parti asalnya iaitu Parti Ikatan Masyarakat Muslim Malaysia pimpinan Abdul Wahad Yunos.

Parti Pekerja, kata Anuar diambil alih tanpa sebarang syarat daripada pemilik asalnya serta tanpa sebarang bayaran satu sen pun.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Parti Pekerja tidak boleh dijenamakan semula sebagai Amanah kerana ia bukan parti politik tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.

Oleh itu, katanya, GHB tidak boleh menggunakan nama Amanah sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi perlembagaan parti itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Berdasarkan nasihat Nur Jazla kata Anuar, EGM pertama itu diadakan bagi menukar struktur parti itu.

"Permohonan pertukaran ini akan diserahkan kepada RoS yang akan berjalan serentak dengan pelancarannya," katanya.

Beliau yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS Perlis dan bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, pihaknya sentiasa mendapat kerjasama yang baik daripada para pegawai dan kakitangan RoS dan ia adalah satu amalan biasa di negara ini.

"Harap mereka terima permohonan kami dengan baik dan kami percaya pegawai RoS adalah penjawat awam yang akan menjalankan tugas mengikut peruntukan dan menjaga hak rakyat untuk berpersatuan dengan baik," katanya.

Anuar berkata, negara akan mencatatkan sejarahnya tersendiri pada 16 September ini apabila Amanah dilancarkan dengan penuh gilang gemilang.

"Kami jangka kira-kira 2,000 perwakilan dari seluruh negara dan pemerhati akan menyertai perhimpunan yang akan diadakan di Shah Alam itu," katanya mengenai pelancaran parti baharu itu. – 9 September, 2015


1 Response to "Parti Pekerja-pekerja Malaysia lulus tukar nama kepada Parti Amanah Negara."

  1. kalau ros tak bagi tukar kepada Amanah. kita tukar kepada Aminah.

    ada org naik seram nanti...

    ReplyDelete