Nizar dalam ucapan perasmian buku kartun karya Zunar menyifatkan tindakan pihak polis menyerbu dan merampas buku-buku Zunar serta menahannya untuk disoal siasat sebagai menunjukkan 'kekartunan' mereka.
"Apabila pihak polis bertindak begini dan mahu mengharamkan buku kartun Zunar, ini merupakan satu tindakan yang menujukkan 'kekartunan' mereka.
"Adakah negara ini mahu kembali ke zaman 30 hingga 40 tahun ke belakang? Kalau mereka haramkan buku ini pun, orang tetap boleh dapat daripada pelbagai sumber khususnya daripada internet," kata Nizar yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang.
Nizar secara berseloroh mencadangkan agar istilah Cartoon-O-Phobia dimasukkan ke dalam Wikipedia agar rakyat mengetahui maksudnya bahawa kerajaan takut pada kartun.
"Kita mintak buat Wikipedia Cartoon-O-Phobia supaya bila kita tengok sahaja, kita boleh tahu apa maksudnya.
"Kita jugak secara senyap dan lembut berterima kasih kepada (Datuk Seri) Hishammuddin kerana turut mempromosikan buku ini, daripada orang tak tahu, jadi tahu mengenai buku ini," katanya yang turut disambut dengan gelak tawa hadirin.
Menurutnya juga, Umno Barisan Nasional mula menyedari bahawa zaman kegemilangan mereka bakal berakhir dan mula melakukan tindakan untuk mengugut rakyat terutanya golongan muda yang mula menyokong Pakatan Rakyat.
"Ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda menyokong Pakatan Rakyat. Mereka mahu supaya perubahan besar dan mereka sedar di atas kezaliman yang berlaku di negara kita hasil buatan Umno Barisan Nasional dan mereka dapat kesedaran itu melalui kartun-kartun yang dilukis Zunar.
"Umno sekarang ini berada dalam suasana akhir hayat. Hayat dia tinggal nyawa-nyawa ikan. Biasanya manusia ini kalau dia sampai ke tahap akhir hayat, dia akan buang tabiat dan buat sesuatu yang melucukan," katanya.
No comments:
Post a Comment