KUALA LUMPUR, 12 Feb: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) berpendirian kemenangan rakyat Mesir menumbangkan Presiden Hosni Mubarak bukan bermakna kebangkitan rakyat sudah tamat.
“Gamis yakin roh kebangkitan itu akan menular ke seluruh dunia,” ujar Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari kepada Harakahdaily.
Katanya, kejayaan itu bukan dicapai dengan mudah kerana mereka berjuang dengan nyawa dan darah.
Tambahnya, ribuan rakyat negara Afrika Utara itu mengalami pelbagai penderitaan dan penyiksaan, ada dipenjarakan serta ditahan tanpa bicara.
“Tidak kurang juga yang syahid sama ada di hujung senjata atau di tali gantung.
“Kebangkitan kuasa rakyat ini memberi isyarat cukup jelas kepada semua diktaktor yang masih berkuasa di serata dunia,” ujarnya.
Menurutnya, bukan mustahil walaupun dalam serba kekurangan, kuasa pemimpin yang zalim, menindas, rasuah, skandal, terlibat dengan pelbagai penipuan dan penyelewengan dapat ditumbangkan.
“Saya mengucapkan penghargaan tahniah setinggi-tingginya buat seluruh rakyat Mesir yang tidak berganjak selama 18 hari,” ujarnya lagi.
Mereka, katanya bangun bersama semangat ratusan syuhada yang gugur terkorban bagi membebaskan Mesir yang penuh kebobrokan yang membuktikan komitmen dan istiqomah mereka berdepan ujian perit menumbangkan pemimpin yang zalim.
Hosni Mubarak yang memerintah selama lebih 30 tahun dalam usianya mencecah 82 tahun akhirnya meletakkan jawatan dan meminta pihak tentera mentadbir negara itu, umum naibnya, Omar Suleiman.
Kenyataan ringkas di stesen televisyen nasional itu dibuat sehari selepas Mubarak bertegas tidak akan melepaskan jawatannya.
No comments:
Post a Comment