10 December 2012

Kebangkitan Rakyat Perak


IPOH – Pakatan Rakyat (PR) menyasarkan kehadiran 40,000 peserta pada Pra-Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, 16 Disember ini susulan siri jelajah PR menawan Putrajaya.
Pengarahnya, Mohamad Sabu berkata, majlis yang bermula 4 petang hingga 12 malam itu bersempena program jelajah yang telah bergerak ke setiap negeri termasuk Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain.


Menurutnya, himpunan tersebut akan menggabungkan empat warna yang menjadi simbol kepada beberapa tuntutan rakyat yang masih belum ditunaikan kerajaan sehingga kini.

“Kita ada empat warna baju yang bakal dipakai ketika himpunan iaitu merah, kuning, hijau dan oren. Warna kuning mewakili Himpunan Bersih yang menuntut lapan perkara, manakala hijau berkaitan dengan alam sekitar yang membantah projek Lynas serta Pengerang.
“Warna merah mewakili tuntutan royalti rakyat Kelantan, manakala oren mewakili tuntutan peneroka Felda. Jadi terserah kepada peserta untuk memilih warna baju untuk dipakai pada himpunan itu kerana bukan ahli parti politik sahaja hadir, ahli badan bukan kerajaan (NGO) turut ambil bahagian ,” katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas menyatakan, ia dijadualkan bermula jam 3 petang hingga 12 malam dengan dihadiri semua kepimpinan utama PR.
“Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan menyampaikan ucaptama pada majlis itu nanti.
“Selain itu wakil NGO dan organisasi yang bersama kita akan memulakan ucapan sekitar jam 8.30 malam diikuti ucapan pemimpin utama parti bermula jam 10 malam. Jadi saya jemput semua pihak untuk hadir ke program ini,” katanya.


Himpunan Kebangkitan Rakyat sepatutnya dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 November ini namun ditangguhkan kerana stadium tersebut akan digunakan untuk Pertandingan Bola sepak Piala AFF Suzuki dan ditunda ke Januari tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment