KUALA
LUMPUR, 1 Feb — Pejabat Peguam Negara seharusnya menarik kembali semua
saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan memulangkan semula wang
saman dibayar oleh pesalah trafik yang didenda kerana sistem diswastakan
itu terbukti tidak befungsi dengan baik, kata Tan Sri Abu Talib Othman
memberikan pandangannya berhubung topik panas itu menjelang Pilihan Raya
2013.
Pernah berkhidmat sebagai Peguam Negara selama 13 tahun, beliau yang
sekarang seorang penjawat awam bersara menggambarkan sistem
penguatkuasaan trafik diswastakan yang dilancarkan September lepas
sebagai satu kes jelas kerajaan bersikap sambil lewa tanpa rasa hormat
kepada kedaulatan undang-undang atau hak asas rakyat.
“Ia adalah benar-benar tidak adil dan tidak munasabah untuk
membenarkan saman dikeluarkan tetapi tidak membenarkan pendakwaan kes
itu jika seseorang atau orang-orang yang disaman ingin mencabar tindakan
pihak berkuasa itu.
“Di manakah mereka pergi untuk mendapatkan keadilan? Mahkamah mesti
bertindak secara bebas dan tidak menerima arahan daripada Pendakwa
Raya,” kata beliau dalam temuramah eksklusif bersama The Malaysian
Insider baru-baru ini.
Pejabat Peguam Negara dan kerajaan persekutuan dikritik hebat bulan
lepas diatas pembekuan pendakwaan pesalah trafik di bawah AES akan
tetapi membenarkan sistem itu untuk terus beroperasi.
Pembekuan saman itu diarahkan selepas bantahan terhadap sistem
tersebut yang telah mengeluarkan 300,000 saman sejak ia bermula pada 23
September tahun lalu.
Keputusan itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang meluas dan
mendorong pentadbiran Najib memikirkan untuk menghentikan pelaksanaan
sistem yang menyebabkan pengguna menerima dua saman termasuk dari
perangkap kelajuan polis di sepanjang lebuh raya.
Tidak berapa lama selepas pembekuan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Kong Cho Ha mengatakan sistem AES akan beroperasi seperti biasa dan
saman akan terus dikeluarkan, membangkitkan lebih banyak kritikan dari
mereka yang menentang sistem tersebut.
“Kerajaan tidak akan menghentikan saman AES ini, seperti yang sudah
diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet lalu,” kata Kong pada 26 Disember.
Namun, Kong turut mengakui saman AES tersebut bermasalah dari sudut
perundangan dan kementeriannya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan
perkara yang dibangkitkan tersebut.
Bulan lalu, Pejabat Peguam Negara mengarahkan supaya semua prosiding
kes saman melalui Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) digantung.
Dalam satu kenyataan, mereka bagaimanapun menegaskan saman melalui
AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.
Abu Talib, walau bagaimanapun, menyimpan kritikan terhadap Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar), yang dilaporkan telah mengakui kelemahan dalam AES.
Abdul Gani dilaporkan berkata saman masih lagi sah akan tetapi
mengakui terdapat kelemahan dalam aspek undang-undang saman tersebut dan
pejabatnya masih lagi dalam perbincangan tentang bagaimana untuk
menyelesaikan permasalahan tersebut.
Pada 13 Januari, akhbar berbahasa Melayu Mingguan Malaysia melaporkan
peguam tertinggi negara itu keputusan berkenaan dengan ribuan saman
yang telah dikeluarkan setakat ini masih tidak boleh didedahkan kerana
ianya melibatkan beberapa jabatan.
“Hakikat beliau mengatakan pejabatnya memerlukan masa untuk
menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan AES serta memastikan semua
peraturan dan tatacara berada di tempatnya sebelum prosiding mahkamah
dimulakan adalah satu pengakuan bahawa sistem tersebut tergesa-gesa
dilaksanakan tanpa memikirkan dengan mendalam untuk undang-undang dan
hak rakyat,” katanya.
Menurut Abu Talib, kenyataan Abdul Gani membuktikan sistem AES tidak
diperincikan dengan teliti terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum ianya
dilaksanakan.
“Jika ia benar, bahawa semua peraturan dan tatacara masih belum
tersedia, perkara yang betul untuk beliau lakukan adalah untuk menarik
balik semua saman yang dikeluarkan dan memulangkan semula semua denda
yang dibayar, jika ada,” kata beliau yang pernah mempengerusikan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Projek swasta bernilai RM700 juta bermula pada bulan September dengan
14 kamera fasa percubaan tetapi JPJ berikrar untuk melancarkan sebanyak
831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan
mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.
Pihak polis, yang menguatkuasakan undang-undang had laju berkata,
mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan
mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek saman berganda
untuk pemandu ingkar.
Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) telah menggunakan isu ini menjelang
kempen pilihan raya yang perlu diadakan pada April selepas mandat
Barisan Nasional (BN) tamat.sumber MI
No comments:
Post a Comment