17 March 2013

Tumbang kerajaan cara demokrasi- Ustaz Harun Taib.


KUALA TERENGGANU – Pas mahu menumbangkan kerajaan dengan cara demokrasi dan menolak menumbangkan kerajaan dengan cara tidak sepatutnya bagi memastikan usaha menawan kerajaan dilakukan dengan cara terhormat.


Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib berkata, apa yang penting usaha perlu dilakukan secara berterusan untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap pembangkang tetap kukuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).



“Kita beramal, bekerja keras untuk meyakinkan orang bahawa kerajaan yang ada bukanlah kerajaan yang baik dan betul.



“Tugas kita adalah memperbaiki kerajaan dan kalau dia tidak sedia membaikinya, maka kita perlu tumbangkan kerajaan dengan cara yang dihalalkan undang-undang dan peraturan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana Pilihan Raya PRU13 Parlimen Kuala Nerus di Kuala Ibai, di sini.



Kenyataan itu sekali gus menunjukkan pimpinan Pas lebih berhemah merampas kerajaan sedia ada berbanding pihak pembangkang lain sebelum ini yang dikatakan mahu mengambil kerajaan dengan mewujudkan suasana huru-hara seperti di Dataran Tahrir, Mesir sekiranya pembangkang sekali lagi kalah pada PRU13.



Pada majlis sama, Harun yang juga Adun Manir seolah-olah mengingatkan Barisan Nasional (BN) bahawa setiap kerajaan ada tempoh masa tertentu dan tidak akan kekal buat selama-lamanya.



Beliau yang turut menunggu waktu itu akan berlaku ke atas BN berkata, sekiranya sesebuah kerajaan itu sudah sampai ‘ajalnya’, ia tetap akan jatuh walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan bagi mengelak perkara itu berlaku.



“Macam manusia juga, sampai umur akan mati walaupun dijaga rapi. Kerajaan pun akan jatuh bila sampai masanya walau berhabis tenaga untuk memastikannya tidak jatuh. Kita tunggu saat kejatuhan mereka itu,” katanya.SUMBER

No comments:

Post a Comment