23 July 2013

Pelajar Tingkatan 2,SMK Klian Pauh,Taiping mati dibunuh.


IPOH – “Rasa pilu ketika melihat anak tidak bernyawa dengan baju sekolahnya dipenuhi darah selain luka di leher dan kedua-dua tangannya. Tidak dapat bayang penderitaan yang dihadapinya,” demikian kata bapa mangsa bunuh, M Nathaniel, 14, yang di temui dalam semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

A Manimaran, 46, berkata, dia dimaklum oleh rakannya mengenai penemuan mayat tersebut.

“Kami sekeluarga memang terkejut dengan keadaan dia ditemui dengan banyak kesan luka. Siapa yang sanggup membunuh dia kerana setahu saya, dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Dia anak baik dan periang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.  

Katanya, dia diberitahu oleh salah seorang rakan anaknya yang ternampak mangsa berbual dengan tiga lelaki tidak dikenali pada hari dia didapati hilang.

“Dia ingatkan rakan anak saya jadi dia terus pulang tanpa mengesyaki apa-apa. Lagipun, tiada sebarang pergaduhan atau jeritan ketika itu,” katanya  yang kali terakhir bertemu ketika keluar bekerja pada pagi hari kejadian.

Namun, Manimaran berkata, mangsa ada perselisihan faham dengan tiga lelaki selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal, Isnin minggu lalu.

“Hanya itu sahaja masalah yang dihadapinya sebelum kejadian dan tidak menolak kemungkinan kejadian ini berlaku mungkin disebabkan perselisihan faham itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah ketika dihubungi berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap kes tersebut.

Katanya, hasil laporan bedah siasat yang dibuat ke atas mangsa akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian semalam melaporkan remaja malang berkenaan ditemui mati di kawasan semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, kelmarin.

Mangsa dipercayai dibunuh dengan kesan kelar di beberapa bahagian di badan dan siasatan pihak polis dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.sumber

No comments:

Post a Comment