Inilah sebahagian khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Mohd Nordin Jaafar,imam bertugas pada 4 Oktober 2013 di Masjid Jame'Bukit Gantang.Antara jemaah yang mendengar khutbah Jumaat itu ,Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang Datuk Rosli Husein.
SAUDARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Anjuran supaya banyak mengingati mati bukan bertujuan melemahkan umat serta meninggalkan terus urusan keduniaan. Begitu juga galakan supaya mengingati mati bukan bertujuan menyaran umat supaya minta cepat mati. Islam tidak menyuruh umatnya bercita-cita supaya cepat mati, malah perbuatan sedemikian sangat dilarang.
Sebaliknya, memikirkan tentang kematian merupakan saranan untuk mendorong setiap Muslim mempunyai wawasan hidup duniawi dan ukhrawi yang jelas, mempunyai semangat yang kuat dan beristiqamah menelusuri perjalanan hidup penuh pancaroba dengan sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Ini kerana kehidupan di dunia ibarat kebun tempat kita bercucuk tanam yang hasilnya akan kita tuai di akhirat nanti.
Dengan itu, perbuatan mengingati mati diharap mendorong kita sentiasa mempertingkat amal ibadat, sama ada yang fardu mahupun sunat demi memperhambakan diri kepada Allah dengan penuh ikhlas dan istiqamah.
Dengan kata lain, mengingati mati juga akan mendorong kita untuk sentiasa berusaha sedaya upaya menjauhkan diri daripada melakukan dosa atau perkara dilarang Allah SWT. Tindakan ini kita lakukan sebagai menzahirkan rasa takut kepada azab yang Allah sediakan di akhirat nanti untuk orang berdosa.
Tambahan pula, setiap manusia pernah berbuat kesalahan atau dosa dan sebaik-baik amalan orang yang berbuat dosa adalah segera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT.Jika tidak segera bertaubat, adalah dikhuatiri matinya sebelum sempat bertaubat. Ini kerana mati itu rahsia Allah. Tiada sesiapa yang tahu bila dan di mana dia akan mati.Maka, kita diperintahkan supaya segera bertaubat sebagaimana firman Allah:
Yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan (mendapat) syurga yang
bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (S. Ali-Imraan:
133).
SAUDARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Sebaik-baik manusia menurut pandangan Islam adalah orang yang panjang umurnya dan baik perbuatannya, sedangkan sejahat-jahat manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi jahat kelakuannya. Bersesuaian dengan ketentuan itu, adalah diharapkan agar setiap Muslim dapat mengambil pengajaran daripada kematian yang satu persatu dialami oleh orang yang terdahulu sebelum kita. Betapa hidup ini hanya sejenak saja, terlalu sayang untuk disia-siakan dengan perbuatan yang tidak bermanfaat.
Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama mengisi hidup ini dengan melaksanakan perkara-perkara yang diperintahkan dan diredai Allah SWT, dan pada masa yang sama sentiasa mengingati mati dengan diiringi istighfar dan taubat. Ini adalah usaha memastikan diri mencapai darjat takwa serta mati dalam keadaan Islam sebagaimana dianjurkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:
Yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa,
dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (S. Ali Imraan: 102).
Petikan Khutbah Jumaat yang disampaikan Ustaz Nordin Jaafar,Imam Masjid Jame'Bukit Gantang,pada 4 Okt 2013 lalu.
No comments:
Post a Comment