Terkini

Kem PLKN ditutup,bukan kerana kencing tikus.

KUALA LUMPUR -- Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Terkok di Sungai Siput, Perak telah ditutup operasinya susulan kematian seorang pelatih pada 12 Mac lepas.


Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua jenis latihan air di semua kem PLKN di seluruh negara turut dihentikan serta-merta.


"Kita tidak berkrompomi dan sedaya upaya melaksanakan program bersandarkan 'Standard Operating Procedure' (SOP) serta kita akan pastikan jika wujud sebarang permasalahan di mana-mana kem PLKN, tindakan tegas akan ditentukan.


"Justeru saya ambil keputusan bukan sahaja menghentikan latihan-latihan pengairan malah kem PLKN Terkok ditutup dan tidak mengambil peserta untuk pengambilan kali akan datang," katanya menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.


Fong ingin tahu tindakan kementerian terhadap kes tersebut dan sama ada akan akan menangguhkan PLKN untuk meneliti dan mengkaji pelaksanaannya.


Ahmad Zahid berkata kematian R.Vinoth, 18, itu bukan disebabkan oleh kencing tikus dan perkara tersebut disahkan selepas pemeriksaan makmal dan juga Jabatan Kesihatan Perak, mendapati air kolam di kem itu bebas bakteria Leptospira.


Namun katanya, tindakan menutup kem Terkok dan menghentikan latihan air adalah bagi menjaga keberkesanan PLKN dan bagi memastikan tidak akan berlaku masalah kesihatan disebabkan oleh kelemahan pentadbiran dan kebersihan.


"Diingatkan, kami tidak akan berkompromi sama ada dengan komandan, jurulatih atau pihak yang menjadi operator mana-mana kem berkenaan sekiranya mereka melanggar SOP," katanya.


Beliau menyifatkan cadangan untuk menangguhkan atau menghentikan terus PLKN hanya kerana berlaku beberapa kematian, adalah sebagai langkah ke belakang.


"Seramai 629,052 pelatih PLKN direkodkan sehingga 29 Feb lepas dan 19 pelatih meninggal dunia atas faktor lain-lain yang bukan kecuaian kem," katanya sambil menambah sebanyak RM4.36 bilion telah dibelanjakan untuk PLKN sejak dilaksanakan.

1 Response to "Kem PLKN ditutup,bukan kerana kencing tikus."

  1. plkn adalah salah satu drpd beribu2 projek KERAjaan bn utk memperkayakan kroni2. kebanyakan operator kem2 adalah orang umno. ada yg dialibabakan. tidak ada faedah langsung pd peserta2. projek mesti dihentikan sekiranya pr ambil alih kerajaan federal. rm4.36 billion telah dirompak. BEBASKAN PUTRAJAYA dari orang2 gila.

    ReplyDelete