Terkini

Perak :4 kerusi panas PAS

PILIHAN RAYA Umum ke-12 (PRU12) meninggalkan impak paling mendalam dalam dunia politik negara dan Perak menjadi salah satu negeri paling disebut- sebut lantaran konflik ‘perebutan’ kuasa pemerintah yang berlaku sekitar penghujung 2008 dan awal 2009 lalu.
Siapa pun tidak dapat menafikan Perak berjaya dirampas Pakatan Rakyat (PR) yang membentuk kerajaan pada 2008, namun tiada sesiapa juga dapat menolak hakikat bahawa pemerintahan yang hanya bertahan 11 bulan itu akhirnya tumbang sebelum dikembalikan semula kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Meskipun pelbagai pergolakan dan peristiwa berlaku (paling diingat pastilah krisis lompat parti dan jawatan MB tidak diiktiraf), usaha BN untuk terus membangunkan Perak berjaya ‘menutup’ pandangan sinis pembangkang dan rakyat yang terus mempersoalkan pembentukan BN di negeri ini.
Cakap-cakap orang, usaha BN untuk mempertahankan pemerintahan bukan sesuatu yang mustahil, bagaimanapun ia perlu diiringi kerja keras yang maksimum, 200 peratus lebih daripada PRU sebelumnya.
Pakatan Rakyat (PR) yang menjadi sandaran Pas, DAP dan PKR pastinya tidak mudah menyerah kalah apatah lagi 19 kerusi daripada 24 Parlimen dan Dun (59) kini dikategorikan sebagai kerusi bahaya apabila merekodkan majoriti sedikit di bawah paras 1,000 undi antara 14 hingga 916 undi sahaja.
Daripada jumlah 19 kerusi berkenaan, BN dilihat berada dalam kedudukan agak berbahaya apabila 11 kerusi yang dipegang termasuk satu di Parlimen Lumut hanya merekodkan menang tipis dengan lawan masing-masing.
Paling mencuri tumpuan pastinya empat kerusi Dun yang hanya merekodkan semua majoriti undi di bawah 100 iaitu Pengkalan Baharu, Kubu Gajah, Lubok Merbau dan Alor Pongsu.
Dun Pengkalan Baharu hanya meraih majoriti 14 undi menerusi penyandangnya, Datuk Hamdi Abu Bakar. Ketua Penerangan kerajaan negeri itu menang dengan 5,375 undi sedikit mengatasi Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain yang mendapat 5,361 undi.
Berada di belakang Pengkalan Baharu ialah Dun Kubu Gajah.

Calon Pas, Mohd Nadzri Din kalah 66 undi kepada calon Umno, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang mendapat 4,114 undi.

Di kerusi Lubok Merbau, majoriti 72 undi yang diraih Pas menerusi Mohd Zainudin Mohd Yusof masih belum selamat untuk parti itu menang pada PRU kali ini.

BN pastinya mahukan kerusi yang selama ini dikuasainya itu kembali kepada mereka memaksa Pas untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan.

Kerusi Alor Pongsu pula yang disandang Datuk Sham Mat Sahat selama dua penggal dilihat goyah apabila daripada 3,416 majoriti undi diraih pada PRU11 turun mendadak kepada 95 sahaja untuk menang ke atas calon PKR.

Keadaan itu pastinya memberi kelebihan kepada PKR untuk terus memancing undi.
Melihat kepada senarai itu, PRU13 ini bakal menjadi medan pertembungan sengit antara kedua-dua parti untuk sama-sama menambat hati baki pengundi yang dirasakan condong kepada mereka.
Malah, tidak salah kalau dikatakan pengundi atas pagar bakal  menjadi penentu kepada parti mana yang menang dan inilah masa yang tepat untuk pengundi menunjukkan kuasa.
Jika sebelum ini, Umno seolah berpegang kuat kepada kerusi pengundi Melayu tertinggi menyokong mereka, nampaknya latar belakang itu tidak lagi praktikal.
PRU12 sudah membuktikan, lokasi majoriti Melayu seperti di Manjoi, Selama, Rungkup, Kamunting, Sungai Rapat dan Trong yang memiliki lebih 60 peratus pengundi Melayu menang tipis meskipun ia dilabel kerusi keramat parti itu.
Peletakan calon Pas di keenam-enam kerusi berkenaan berjaya mengurangkan jumlah majoriti dengan perbezaan yang ketara.
Di Manjoi, Datuk Nadzri Aziz terus  kekal di kerusi berkenaan apabila memperoleh 348 undi lebih daripada Zulkurnaini Ibrahim. Penyandang kerusi Selama, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff pula menang dengan majoriti 355 untuk menundukkan Abu Husin Mohamad.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Shaarani Mohamad pula dengan majoriti 454, di Kamunting, Muhamad Apardi Shaari tewas dengan 555 undi kepada Exco Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Zahir Khalid. Ketua Penerangan Wanita Umno Pusat, Datuk Hamidah Osman yang dicabar Radzi Zainon pula berjaya mengekalkan kerusinya dengan kelebihan 636 undi dan Datuk Rosli Husin yang pada asalnya memperoleh 3,020 majoriti undi pada PRU11 terpaksa berpuas hati apabila hanya meraih kelebihan 916 undi untuk terus kekal menjadi wakil rakyat di Trong.
Lumut menjadi satu-satunya kerusi Parlimen bagi BN yang tersenarai antara menang tipis apabila calon MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha menerima kelebihan undi 298 daripada calon PKR.
PKR yang menerima suntikan melalui kesediaan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di negeri ini pasti mahu menambah bilangan kerusi selain terus mengekalkan rekod tujuh kerusi dun dan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU12 lalu.
Bagaimanpun, perincian perlu diberikan kepada tiga kerusi sedia ada apabila kejayaan yang diraih itu hanya sekadar kekalahan tipis BN masingmasing di Dun Teja, Kuala Kurau dan Kuala Sepetang.
Teja menerusi Chang Lih Kang hanya menang dengan 175 majoriti undi menewaskan calon MCA.
Di Kuala Kurau yang kini hangat dengan perdebatan isu pertukaran calon antara parti kompenan BN merekodkan PKR menang dengan majoriti 467 menewaskan calon Umno, Mohd Salleh Mat Disa yang sebelum ini menang dengan majoriti 2,479 pada PRU11.
Situasi sama juga berlaku di Dun Kuala Sepetang apabila Tai Sing Ng menang dengan majoriti 564 kepada penyandangnya, See Tean Seng.
Bagaimanapun, krisis penolakan calon luar yang disuarakan peringkat cabang PKR akhir Februari lalu mungkin boleh dijadikan senjata BN bagi meraih kembali kepercayaan pengundi.
Kejutan pengumuman Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding di Dun Changkat Jering dilihat mungkin akan memberi sedikit kelainan kepada kerusi Pas kali ini.
Namun, dalam kesibukan mengatur kuota, tiga daripada enam kerusi dun yang dimenangi pada PRU12 lalu juga sebenarnya berada dalam keadaan berisiko.
Selain Dun Lubok Merbau, kerusi Selinsing dan Changkat Jong juga berisiko untuk dirampas BN apabila hanya merekodkan jumlah majoriti rendah iaitu 547 dan 899.
Di Selinsing, pengaruh bekas wakil rakyatnya, Datuk Zaili Cha dilihat masih tinggi meskipun tewas kepada Husin Din.
Kelebihannya sebagai wakil rakyat selama dua penggal pasti akan digunakan sebaiknya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti itu.
DAP yang menunjukkan rekod cemerlang pada PRU12 lalu dengan menang di semua 18 kerusi Dun ditandingi tidak semestinya perlu berasa lapang dada.
Sekiranya ingin meneruskan penguasaan itu, dua kerusi masing- masing di Kepayang dan Pokok Assam memerlukan strategi apabila kedua-dua kerusi hanya menang dengan majoriti 490 dan 865 undi ke atas calon MCA.

Kerja keras yang ditunjukkan jentera MCA terutama pengaruh Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga Pengerusi MCA Perak pasti akan memberi kelebihan kepada parti itu untuk melawan habis-habisan calon DAP di dua kerusi berkenaan.

Berdasarkan pengumuman dibuat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, semalam tidak mustahil tujuh daerah yang disenaraikan sebagai lokasi ‘hot spot’ di sekitar negeri ini berada dalam 19 senarai kerusi seperti yang dinyatakan.

Apapun kita percaya, dengan situasi politik matang yang ditunjukkan pada masa kini, samada pengundi, penyokong mahupun pimpinan parti tidak akan mencetuskan ketegangan semata-mata mahu merekodkan kemenangan.sumber SH

0 Response to "Perak :4 kerusi panas PAS "

Post a Comment