IPOH: AJK PAS Pusat Idris Ahmad optimis mampu mempertahankan kemenangan di kerusi parlimen Bukit Gantang yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.
Menurutnya, pengalaman bertanding di Dun Changkat Jering disamping pernah menggalas tugas sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan itu selama dua penggal menyebabkan beliau tidak kekok dengan masyarakat di sini.
Anak Jati Bukit Gantang itu berkata, rekod baik ahli parlimen PAS terdahulu iaitu Allahyarham Ustaz Roslan Shaharom sebelum diganti oleh DatUK Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam perkhidmatannya kepada masyarakat ternyata menjadi penyumbang utama kekuatan sokongan rakyat kepada PAS.
“Saya hadir untuk meneruskan perkhidmatan baik delegasi bekas YB itu Allahyarham Ustaz Roslan Shaharom serta Datuk Seri Nizar Jamaluddin itu sendiri,” katanya ketika ditemui Harakah di Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Perak di sini, semalam.
Anak kelahiran Sungai Petai itu berkata, kekuataan jentera disemua peringkat terutama pemuda dan muslimat sangat mantap dan mereka sudah melakukan gerak kerja sejak awal lagi.
“Saya bersama jentera kerap turun berjumpa masyarakat di semua peringkat umur dan kaum sejak awal lagi selepas diamanahkan oleh parti untuk bertanding di situ.
“Respon masyarakat dari pelbagai kaum khususnya orang Melayu dan kaum Tionghua sangat baik dan ini memberi petanda positif kepada PAS,” jelasnya lagi.
Katanya, peluang yang diberikan oleh kepimpinan untuk bertanding disambut baik dan beliau akan melaksanakan amanah itu dengan mempertahankan kemenangan di Bukit Gantang.
Pada pilihanraya 2008 lalu, calon PAS, Ustaz Roslan Shaharom menang di parlimen ini apabila menewaskan calon BN, Abdul Azim Zabidi dengan majoriti 1566 undi.
Ustaz Roslan menghembuskan nafas yang terakhir pada 9 Februari 2009 dan diganti oleh Nizar apabila menang pada pilihanraya kecil parlimen ini dengan mengalahkan calon BN, Ismail Saffian dengan majoriti 2,789 undi.
0 Response to "Ismail Sapian Kg Kubu lawan Idris Ahmad Sungai Petai"
Post a Comment