Terkini

Perak,PAS sasar 18 DUN dan 4 Parlimen

IPOH: PAS Perak mensasarkan 18 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen untuk dimenangi dalam pilihan raya umum ke 13 ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Haji Asmuni Awi berkata, jumlah kerusi sasaran itu adalah berdasarkan peluang untuk menang di kerusi-kerusi berkenaan.

"Berdasarkan gerakerja yang telah dibuat, saya yakin kita boleh mencapai sasaran itu," kata Asmuni kepada Harakahdaily.

(Asmuni di depan salah satu Markas Pilihan raya di kawasan DUN Manjoi)

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS menang dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN.

Kerusi-kerusi itu adalah Parlimen Bukit Gantang dan Parit Buntar manakala kerusi DUN adalah Pasir Panjang, Selinsing, Titi Serong, Gunung Semanggol, Changkat Jong dan Lubuk Merbau.

Ekoran kemenangan itu, Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dilantik sebagai Menteri Besar.

Namun kerajaan Pakatan Rakyat Perak itu hanya bertahan 11 bulan sahaja apabila dua Adun PKR dan satu Adun DAP meninggalkan parti masing-masing menjadi Adun bebas yang menyokong BN.

Berdasarkan ranking di bilik gerakan PAS, DUN Pasir Panjang yang diwakili oleh Nizar menduduki tempat pertama.

Ia telah dimenangi oleh Nizar dengan majoriti 4,447 mengalahkan calon BN dari MIC, Vasan Sinnadurai.

Namun dalam pilihan raya akan datang ini Nizar disebut-sebut akan bertanding di Changkat Jering, salah satu DUN di bawah Bukit Gantang yang beliau menang dalam pilihan raya kecil lalu.

Tempat beliau di Pasir Panjang katanya akan ditandingi oleh seorang tokoh Muslimat kawasan Lumut.

Asmuni sendiri dikatakan akan bertanding di DUN  Manjoi iaitu kawasan yang menjadi tanah tumpah darah beliau sehingga sekarang.

Dalam pilihan raya kali ini, PAS dijangka akan bertanding 22 DUN manakala PKR19 dan DAP 18.

DAP mempunyai peluang cerah untuk memenangi kesemua DUN yang ditandingi itu.

Untuk kerusi Parlimen pula, PAS dijangka akan bertanding tujuh kerusi, PKR 10 dan DAP tujuh.

0 Response to "Perak,PAS sasar 18 DUN dan 4 Parlimen"

Post a Comment