IPOH - Polis Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan anggotanya memukul dan mengasari seorang doktor pelatih yang terbabit dalam kes menyamar sebagai anggota polis ketika berada dalam tahanan reman bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata doktor berusia 27 tahun itu turut mendakwa reputasinya tercemar akibat penahanan yang dibuat ke atasnya.
Menurutnya, suspek terbabit membuat laporan pertama di Balai Polis Pekan Baru pada 17 Mei lalu jam 5.50 petang sejurus dibebaskan daripada tahanan reman.
“Dalam laporannya, suspek mendakwa tidak puas hati dengan fakta kejadian malah menuduh anggota kami memukul dan mengasarinya sewaktu berada dalam tahanan.
“Kami tidak mereka fakta kes dan siasatan hanya dijalankan mengikut laporan polis yang dibuat ke atas suspek terbabit.
“Kemudian, pada 31 Mei, jam 1.39 petang, suspek sekali lagi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan menyatakan telah dipaksa memberi pengakuan serta menuntut supaya polis memulangkan semula kereta jenis Mercedez miliknya.
“Suspek turut memberitahu dia akan meminta kerajaan membayar pampasan jika keretanya gagal dipulangkan,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.
Paramasivam berkata, suspek juga telah mengadakan dua sidang media pada bulan lalu dan melaluinya dia telah membuat tohmahan terhadap siasatan yang dijalankan anggota serta pegawai polis.
Berikutan itu, beliau berkata, kertas siasatan berhubung kes tersebut telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara melalui pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri pada 17 Mei lalu.
Dalam kejadian 12 Mei lalu, doktor terbabit bersama tiga yang lain ditahan kerana menyamar anggota polis dan menyamun seorang peniaga di Jalan Datuk Onn Jaafar di sini.
Hasil siasatan polis menemui peralatan lain termasuk sepucuk pistol mainan, gari dan kunci gari, vest polis berpangkat Asisten Superintendan, topi lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lampu dalam kereta ‘beacon light’. (sumber lain)
0 Response to "Polis nafi pukul doktor pelatih suspek menyamar anggota polis."
Post a Comment