Terkini

Apa kata Tun pada R.O.S bubar sementara PPBM

Kenyataan Media Penuh Ayahanda Tun Mahathir mengenai isu pembubaran PPBM oleh ROS.

KENYATAAN MEDIA PENGERUSI PPBM

1. Pada 29 Mac 2018, Setiausaha Agung PPBM telah menyampaikan semua dokumen dan maklumat yang diperintahkan oleh ROS melalui notis Seksyen 14(2).

2. Pada 30 Mac 2018, Setiausaha Agung PPBM telah bertanyakan kepada ROS jika ada apa-apa maklumat lanjut yang diperlukan. Pada 3 April 2018, ROS menjawab telah mengambil perhatian bahawa PPBM telah mematuhi semua perintah yang diberikan. ROS tidak menyatakan jika beliau memerlukan sebarang maklumat lanjut.

3. Pada 5 April 2018, PPBM telah memfailkan satu tindakan guaman semakan kehakiman terhadap ROS supaya ROS tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahgunakan peruntukan Akta Pertubuhan sementara perkara itu dibicarakan di mahkamah.

4. Malangnya, pada masa yang sama ROS telah membuat satu sidang media pada jam 2.30 petang mengumumkan perintah sementara membubarkan PPBM.

5. Sidang media ROS itu amatlah mendukacitakan kerana sehingga kini kami pemegang jawatan PPBM iaitu saya sebagai Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai Setiausaha Agung dan Datuk Mohd Salleh Bajuri selaku Bendahari Agung tidak pernah disampaikan dengan apa-apa notis atau perintah sementara pembubaran oleh ROS. Pejabat berdaftar PPBM di Damansara juga tidak menerima perintah sementara tersebut.

6. Hal ini adalah bercanggah dengan keperluan Seksyen 62 Akta Pertubuhan 1966 yang memerlukan perintah seperti itu disampaikan kepada empat pemegang jawatan tersebut di alamat berdaftar PPBM. Dalam pada itu, perintah ROS itu telah pun diviralkan kepada orang ramai. Ini tidak sepatutnya berlaku jika ROS bersikap professional dan telus. Seharusnya ROS berhubungan dengan kami secara langsung dan bukan melalui media massa.

7. Memandangkan ROS sendiri tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966 maka perintah sementara pembubaran itu belum lagi disampaikan dengan sah dan sempurna kepada kami sehingga kini dan dianggap sebagai tidak sah laku.

8. ROS juga menyatakan dalam sidang media bahawa PPBM tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti sebagai parti politik. Kenyataan Ini adalah salah di sisi undang-undang dan amatlah mendukacitakan. Halangan yang dinyatakan oleh ROS itu adalah halangan-halangan di bawah Bahagian 3 Akta Pertubuhan yang hanya terpakai apabila sesuatu pertubuhan itu telah dibatalkan pendaftarannya.

9. Pada masa ini PPBM belum dibatalkan pendaftarannya. PPBM hanya dikenakan perintah sementara pembubaran. Hal ini sepatutnya disedari oleh ROS tentang perbezaan perintah sementara pembubaran dan pembatalan pendaftaran.

10. Hari ini Parlimen telah ditangguhkan dan adalah dijangkakan akan dibubarkan dalam masa terdekat. Adalah jelas tindakan ROS bertujuan untuk menghalang PPBM dari menjadi saingan UMNO sebagai parti pembela orang Melayu. Adalah juga jelas tujuan ROS mengeluarkan perintah sementara pembubaran adalah untuk menghalang PPBM dari bertanding dalam PRU-14 dan untuk mengelirukan rakyat Malaysia amnya dan orang Melayu khasnya. Ini juga dilakukan untuk menghalang Pakatan Harapan didaftarkan sebagai pertubuhan politik yang dapat menyaingi Barisan Nasional.

11. Tindakan ROS ini adalah satu perbuatan penyalahgunaan kuasa. Sepatunya ROS bersifat neutral dan bukan cuba mensabotaj proses demokrasi dan PRU 14 dengan mengikut telunjuk UMNO. Ini menunjukkan UMNO dan Barisan Nasional akan menggunakan segala tipu helah untuk mendapat kemenangan dalam PRU 14. Ini juga menunjukkan Najib amat takut bahawa Pakatan Harapan akan membawa kepada perubahan pemerintah yang lebih baik yang akan menghadapkannya ke muka pengadilan kelak.

12. Oleh itu saya menyeru ahli-ahli PPBM supaya meneruskan perjuangan sementara proses guaman diputuskan di mahkamah. Mahkamah adalah harapan terakhir menegakkan keadilan di atas kesemua kesalahan yang telah dilakukan oleh ROS. Kes semakan kehakiman PPBM perlu disegerakan supaya tidak menjadi sia-sia jika dilengahkan sehingga PPBM tidak dapat bertanding dalam PRU 14. Semoga Allah memberikan hidayah kepada hakim-hakim kita untuk melakukan perkara yang betul dalam menegakkan kebenaran.

13. Saya menyeru semua ahli PPBM untuk mengukuhkan semangat dan terus berjuang supaya Pakatan Harapan menang dalam PRU 14 dan membawa perubahan yang kita janjikan kepada rakyat. Semoga Allah selamatkan Malaysia!

14. Menurut undang-undang, notis pembatalan sementara yang dikatakan bertarikh 5.4 ini, boleh dirayu kepada Menteri untuk dibatalkan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis itu kepada Menteri berkenaan iaitu Datuk Zahid Hamidi. PPBM akan lakukannya dalam masa terdekat.

15. Kalau Menteri Zahid Hamidi sebenarnya tidak takut dengan PPBM, maka saya cabar dis luluskan Rayuan itu secepat mungkin. Kalau tidak terbuktilah Menteri Kerajaan memang takut dengan kewujudan PPBM. "



#SelamatkanMalaysia
#ROSPenipu

0 Response to "Apa kata Tun pada R.O.S bubar sementara PPBM"

Post a Comment