Terkini

Haji Razman Zakaria, tuntut seorang blogger minta maaf.

IPOH – Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria menuntut seorang blogger memohon maaf terhadap sebuah artikel yang disifatnya sebagai tuduhan melampau terhadap dirinya.

Razman berkata, artikel berkenaan dianggap satu fitnah apabila dirinya dikaitkan dengan masalah disiplin ketika bekerja dalam sebuah agensi kerajaan sebelum menyertai Pas.

“Dalam satu penulisan yang bertarikh 14 Mei lalu, dia mendakwa bahawa ‘saya dinasihatkan berhenti dari jabatan kastam kerana masalah disiplin’.

“Pada pandangan saya amat keterlaluan dan melampaui batas yang mana ia merupakan suatu fitnah terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, blogger berusia 64 tahun itu perlu membuat tuntutan maaf secara terbuka menerusi media cetak dan elektronik terutama blognya dalam tempoh tiga hari.

“Saya beri tempoh selama tiga hari untuk beliau memohon maaf kepada saya berhubung perkara tersebut secara terbuka melalui media cetak terutama akhbar Sinar Harian, Utusan Malaysia dan Berita Harian.

“Individu tersebut perlu menyiarkan permohonan maafnya melalui Facebook, blognya sendiri serta semua blog yang mempunyai pautan terhadap blognya. Jika gagal, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Razman berkata, blogger berkenaan dilihat cuba melakukan serangan menerusi blog berkenaan sejak beliau mula dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas, dua tahun lalu.

“Saya bersabar kerana menganggap ini asam garam orang politik. Namun, akhir-akhir ini saya dapati penulisannya terhadap saya boleh dijustifikasikan sebagai serangan agak keterlaluan dan melampau,” katanya

0 Response to "Haji Razman Zakaria, tuntut seorang blogger minta maaf."

Post a Comment