Terkini

"Pelaq dan haram jadah" di Masjid Lama, Taiping.

"Pelaq dan haram jadah" itulah yang keluar daripada seorang ahli PAS terhadap pemimpin dan ahli PAN. Apa yang lebih aku kesal ialah jawapan pemimpin PAS terhadap persoalan itu bersetuju dengan apa yang dicelakan oleh ahli PAS itu terhadap PAN. Pengkianat patut diharam jadahkan sambil membaca ayat Al-Quran untuk menghalalkan hujah yang diberikan. Begitulah yang terjadi dalam forum yang telah diadakan di Masjid Lama, Taiping sekejap tadi. Aku terus bangun keluar daripada masjid kerana tidak sanggup mendengar perkataan maki hamun di dalam rumah Allah. Bagi aku itulah wajah sebahagian daripada pemimpin dan ahli PAS sekarang, cukup berbeza dengan perwatakan PAS pada masa lalu. Persepsi aku ini bukan dipengaruhi oleh kecenderungan aku terhadap PAN sejak kebelakangan ini. Tetapi realiti yang aku lihat dan dengar sendiri keluar daripada Ahli Perhubungan PAS Perak dan ahli PAS yang sangat fanatik. 

Aku melangkah keluar dari rumah dengan niat untuk berada dalam majlis ilmu yang akan dipenuhi dengan kata-kata nasihat agama. Aku berharap dan berdoa semoga melangkahnya aku ke Masjid Lama Taiping pada malam ini membolehkan aku bermuhasabah sebelum aku membuat keputusan muktamad untuk meninggalkan jamaah yang aku cintai sejak dulu. Namun, apa yang terjadi adalah di luar jangkaan aku, bukan dapat menjinakkan hati aku kembali sebaliknya lebih menjarakkan aku dengan gerakan Islam yang aku sayangi sejak dulu.

Bagi aku yang tidak banyak ilmu ini, timbul persoalan adakah cara begini yang diajar oleh Rasulullah SAW?. Bukankah Islam melarang umatnya melabel dengan sesuatu yang buruk dan memaki hamun sesama Muslim. Tidakkah ustaz yang menjadi panel tadi tidak tahu perbuatan memaki hamun dan mencaci itu perbuatan syaitan?. Sepatutnya sebagai ustaz yang berilmu tinggi beliau akan memberikan nasihat terhadap ahli yang memaki hamun dan menyatakan pemimpin dan ahli PAN lebih teruk daripada DAP. Tidakkah ahli dan pemimpin PAS tahu bahawa dalam Islam kata-kata kotor, makian dan ucapan menghina lebih-lebih lagi dikeluarkan di dalam masjid perbuatan yang sangat tercela dan dilarang?. Adakah dengan jawapan umpama "menuang minyak dalam api" itu selaras dengan ajaran Rasulullah SAW?. Tidakkah mereka tahu bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda "Jauhilah olehmu kata-kata kotor kerana Allah tidak suka kepada kata-kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor daripada orang lain."

Anas bin Malik r.a pernah menyatakan bahawa, "Tidak pernah Rasulullah SAW melakukan perbuatan keji, tidak pula mencaci dan memaki hamun terhadap orang yang mencela baginda kotor." Rasulullah SAW sangat-sangat menjaga lisannya, sekalipun terhadap orang kafir yang sangat keras menentang dakwahnya. Tidakkah mereka tahu ketika Abu Darda r.a meminta Nabi SAW mendokan kecelakaan ke atas orang-orang musyrik Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya aku diutuskan bukan untuk melaknat, tetapi aku diutuskan untuk memberi rahmat." Rasulullah tidak pernah membalas makian dan cacian serta perbuatan buruk yang dilakukan oleh perempuan Yahudi terhadap baginda, sebaliknya menyantuni Yahudi tersebut sehingga tertarik dengan Islam. 

Rasulullah SAW tidak membalas perbuatan penduduk Taif walaupun mempunyai peluang yang besar kerana Allah telah menghantar malaikat yang berkuasa ke atas gunung-gunung untuk memusnahkan penduduk Taif. tetapi baginda SAW sangat pengasih lagi belas kasihan dan memberi jawapan "Aku tetap menaruh harapan kepada Allah bahawa walaupun mereka tidak menerima Islam ketika ini, tetapi pasti akan lahir orang yang akan menyembah Allah SAW dan beribadat kepada-Nya dalam kalangan anak-anak mereka." Beginilah sikap baginda terhadap orang-orang kafir, tetapi apa yang berlaku dalam masjid tadi mereka mencaci dan memaki hamun sesama Islam. Sepatutnya pemimpin dan ahli PAS tersebut mencontohi apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam memenangi semula pemimpin dan ahli-ahli PAN yang seagama dengan mereka. Adakah dengan bersikap begitu menguntungkan PAS?. 

Akhirnya, nasihat aku yang daif lagi lemah ini kepada sebahagian daripada pemimpin dan ahli PAS, renungilah ayat Quran ini. Allah berfirman yang bermaksud,"Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji." (Al-Humazah:1)

Mohon perlindungan daripada Allah SWT daripada sifat yang buruk dan keji. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah SWT, kelemahan dan kekurangan itu adalah daripada diriku yang lemah dan daif.

5 Responses to ""Pelaq dan haram jadah" di Masjid Lama, Taiping."

  1. Orang2 yang berilmu lagi tinggi ujiannya sesuai dengan apa yang diucapkanya.

    ReplyDelete
  2. Lu dh sama dgn amno la camtu..ada mata buta, ada telinga pekak..anda mau bangun bersama ulamak dan jemaah islam ketika akhirat atau mau bersama mat sabu, khalid atau pun dap yg jelas anti islamnya itu?taubatlah tuan, nyawa masih di badan.

    ReplyDelete
  3. Apa salahnya melabel?.. cuba bygkan dah melabel pun diaorg selamba je langgar sumpah baiah dan harta wakaf.. so label pengkhianat x salah pd sy.. lagipun x tuju pd sesiapa secara spesifik pun..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hadi dah Khainat rakyat sokong Najib tu guana Wan ?

      Delete
  4. Wan, memang melabel dan mengata org lain tu best...puaskan hati kita yang sedang amarah...tapi sedarkah kita dunia memerhati golongan agama ini sebagai mewakili Islam..cukuplah atas fitnah yg Islam ini agama keganasan..wahai golongan agama, jagalah adab dan tutur kata mu agar keindahan Islam terjaga..

    ReplyDelete