Terkini

PAS hanya mampu letak calon 11 kerusi di Sarawak.

PAS akan meletakkan calon di 11 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan bersedia menentang mana-mana calon termasuk daripada DAP, kata pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata 9 daripada kerusi itu merupakan kawasan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, manakala baki 2 lagi kerusi merupakan kawasan baharu Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi DUN di negeri ini.

Katanya keputusan PAS untuk bertanding di 11 kerusi tersebut juga dibincangkan bersama PKR kerana PAS masih mempunyai hubungan dengan parti itu dan tiada perbincangan diadakan dengan DAP.

"Setakat perbincangan dengan PKR, kita tidak mahu ada pertindingan kerusi dengan mereka (PKR), tetapi yang lain boleh bertindih...tiada masalah sebab kita tidak ada hubungan dengan mereka.

"Kita akan bertanding di 11 DUN, PAS akan meletakkan calon daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, agamawan dan juga usahawan. Pada PRN Sarawak, PAS juga akan meletakkan seorang calon bukan Islam di kerusi DUN yang baharu diluluskan," katanya dalam sidang media di Kuching hari ini.          

Terdahulu, Mustafa bersama beberapa pimpinan PAS pusat dan negeri menghadiri mesyuarat Pilihan Raya Pusat berkenaan PRN Sarawak di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee dan Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar Suhaili.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata PAS Sarawak akan menghantar senarai calon PRN negeri kepada Majlis Syura PAS untuk pertimbangan pertengahan Februari nanti.

"Majlis Syura akan semak calon ini, kelayakan mereka untuk bertanding, sebelum meluluskan penempatan mereka. Perbincangan mengenai calon ini akan turut diadakan menerusi perbincangan dengan PAS Sarawak," katanya.

Sementara itu, Mustafa berkata pengumuman  Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem semalam  PRN negeri akan diadakan pada April amat dialu-alukan.

Katanya PAS menjangkakan PRN Sarawak akan diadakan pada Mac tetapi dengan berita yang diumumkan Adenan itu memberi indikasi terbaharu persediaan pilihan raya PAS. – Bernama, 30 Januari, 2016



0 Response to "PAS hanya mampu letak calon 11 kerusi di Sarawak."

Post a Comment