Terkini

RM 16 juta untuk pingat emas pertama sukan olimpik:apakah rasionalnya?

Pas persoal kerajaan belanja RM16 juta

SHAH ALAM- Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) mempersoalkan perbelanjaan RM16 juta oleh kerajaan bagi tempoh 2009 hingga 2012 untuk menjayakan program ’Road to London 2012’ semata untuk mendapatkan pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, kerajaan seharusnya melihat kembali proses pembinaan atlet agar kualiti ahli sukan tanah air mempunyai semangat juang tinggi dan sanggup berkorban masa dan wang ringgit walaupun tidak diberikan ganjaran lumayan.:

“Berbaloikah kemahsyuran yang dikejar itu padahal ianya hanyalah satu catatan sejarah yang belum pasti memberikan impak politik dan moral kepada negara khususnya dunia sukan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, bajet sebesar itu perlu digunakan sebaik- baiknya seperti penyertaan yang lebih banyak pertandingan di luar negara dan bukannya sekadar tujuan latihan semata-mata.

“Dengan lebih banyak pertandingan yang disertai maka mereka akan merasai lebih banyak pengalaman dan motivasi diri akan meningkat dan dalam masa yang sama, kita juga boleh memecahkan anggapan rakyat bahawa atlit kita hanyalah sekadar ‘jaguh kampung’,” katanya.

Beliau berkata, menurut laman web WikiAnswer, pingat emas secara puratanya mempunyai berat sekitar 250 gram dengan kandungan sebenarnya adalah 244 gram perak dan enam gram emas yang disadur pada permukaannya dan harga antarabangsa pada akhir 2008 hanyalah sekitar USD300 sahaja.:

Pemuda Pas menyedari bahawa kejayaan atlet kita dahulu banyak didorong oleh motivasi diri sendiri dan bukannya dengan pembaziran yang melampau.

“Mereka juga menghabiskan masa berlatih dalam negara dan hanya keluar negara jika ada pertandingan,” katanya.

Nasrudin berkata, ini tidak bermakna DPPP menolak dunia sukan tetapi kerajaan haruslah beringat demi kebaikan semua pihak terutamanya dalam keadaan ekomoni sekarang.

“Kita mengucapkan tahniah dan terima kasih pada semua atlet yang berusaha keras bagi mengharumkan nama negara selama ini.

“Sama ada mereka mendapat pingat atau tidak, DPPP yakin bahawa mereka sudah berusaha sebaiknya ke arah itu,” katanya

sinar harian

0 Response to "RM 16 juta untuk pingat emas pertama sukan olimpik:apakah rasionalnya?"

Post a Comment