Terkini

Pas Kawasan Bukit Gantang Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zulkifli Hasan

Pesawat ringan yang terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tengah hari tadi telah mengorbankan dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Mejar Mohd Rozaini Mohd Mustafa, 37, dan Mejar Mohd Zulkifli Hasan, 38. Foto ihsan oleh CIKGU ZUBIR.

ALOR SETAR: Pesawat ringan yang terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tengah hari tadi, disahkan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalani sesi latihan lencong.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, pesawat ringan PC7 MKII yang berpangkalan di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar itu terhempas pada 12.20 tengah hari tadi, setelah berlepas dari KTU pada pukul 11.54 pagi.

Komander pesawat ialah Mejar Mohd Zulkifli Hasan, dibantu Mejar Mohd Roszaini Mohd Mustafa, kata TUDM.

Kedua-dua juruterbang disahkan meninggal di tempat kejadian dan waris mereka telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Difahamkan jenazah mangsa telah diterbangkan dari Hospital Langkawi ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini, sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Mohd Roszaini, 37, yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan meninggalkan seorang balu dan tiga anak, manakala Zulkifli, 38, berasal dari Taiping, Perak meninggalkan seorang balu serta lima anak.

Menurut kenyataan itu lagi, TUDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.(BERNAMA)

Sehubungan dengan itu Pas Kawasan Bukit Gantang,melalui YDP Pas Kawasan Bukit Gantang Ustaz Nordin Jaafar mengucapkan takziah kepada kedua-kedua keluarga Allahyarham Mohd Roszaini dan Allahyarham Mohd Zulkifli .

"Semoga roh kedua-duanya ditempat bersama-sama orang beriman dan soleh"kata Ustaz Nordin Jaafar.Di samping beliau berharap keluarga kedua-dua prajurit bersabar .

0 Response to "Pas Kawasan Bukit Gantang Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zulkifli Hasan"

Post a Comment