Terkini

Jenazah Allahyarham Noordin Mat Top selamat dikebumi


PONTIAN - Jenazah Noordin Mat Top selamat dikebumi di kampung halamannya sendiri di Kampung Melayu Pontian Besar Kiri, kira-kira jam 7.25 malam di sini, semalam.:

Laungan “Allahhuakbar” sebanyak tiga kali daripada orang ramai ketika jenazah hendak dikebumikan menandakan berakhirnya kisah ’militan nombor satu Asia’ yang selama ini dikehendaki polis Indonesia.

Jenazah allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dari Jakarta dengan penerbangan Malaysia Airlines kira-kira 3 petang, dibawa pulang ke Pontian menggunakan van jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya dengan diiringi oleh anggota polis.

Abang Noordin, Yahya dan isteri pertamanya, Siti Rahmah Rusdi, seorang guru al-Quran di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru yang telah ke Jakarta semalam untuk menuntut jenazah allahyarham di Rumah Sakit Kramat Jati, turut mengiringi perjalanan terakhir jenazah kembali ke kampung halamannya.

Jenazah allahyarham kemudian disembahyang dan diimamkan imam Masjid Nurul Iman Kampung Melayu Kayu Ara Pasung, Kassim Kambang dan dibawa ke Tanah Perkuburan Wakaf Islam pada jam 6.32 petang.

Kelihatan seluruh penduduk kampung menyaksikan pengkebumian Noordin serta puluhan wartawan dari dalam dan luar negara hadir seawal jam 9 pagi membuat liputan.

Noordin yang mengetuai kumpulan serpihan JI yang dikenali sebagai “Tandzim Al Qaedat Jihad Indonesia” terbunuh pada 17 September lepas di dalam satu operasi oleh pasukan khas anti keganasan Indonesia Detasmen Khusus 88 di Kepuhsari, Solo, Jawa Tengah.

Turut kelihatan di masjid terbabit adalah tiga orang anak Noordin hasil perkahwinannya dengan Siti Rahmah dan sanak saudara beliau.

Jalan raya menuju ke masjid, rumah keluarga Noordin dan tanah perkuburan di kawal ketat oleh anggota polis bagi memastikan upacara pengebumian allahyarham berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zamani Zahaliman berkata, polis mula mengawal kawasan tanah perkuburan dari jam 8 pagi, melibatkan 50 orang anggota dari Ibu Pejabat Daerah Pontian.

Kakak Kandung Noordin, Zainon, 45, merasa sedih dengan apa yang menimpa adiknya itu bagimana pun menahan air matanya dari mengalir setelah melihat jenazah Noordin.

Sementara abang ipar Noordin, Supriyo Eutekno, 50, melahirkan rasa kesalnya kerana jenazah Noordin disimpan terlalu lama di Indonesia.

“Kita tidak kata kita menyokong tindakan dan aktiviti yang dilakukan Noordin tetapi kita menghormati pendirian dan prinsip allahyarhan kerana dia begitu pendiam dan baik sekali.

“Ketika polis Indonesia mengumumkan kali pertamanya Noordin ditembak mati dan kemudiannya menafikannya kami merasakan seolah-olah dipermainkan ketika itu dan sehingga hari ini kami tidak dapat menahan emosi,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian Noordin.

Menurut Supriyo, sejak Noordin terpisah daripada keluarganya mereka tidak tahu samada aktiviti yang dilakukan Noordin itu benar atau tidak.

“Secara peribadi jika ikutkan sifat lemah lembut yang dimiliki Noordin, saya tidak percaya dia boleh melakukan perbuatan seperti yang didakwa.

“Biarlah sejarah sahaja menentukannya. Saya hormati dengan segala pendirian kerajaan Malaysia dan berterima kasih dengan polis negara ini dalam membantu proses pengkebumian Noordin,” katanya.

Supriyo turut mempertikaikan pengurusan jenazah Noordin di Indonesia dikatakan menyimpannya terlalu lama dan berharap kejadian yang sama tidak berlaku kepada yang lain pada masa akan datang.

Noordin anak kelapan daripada 15 orang adik beradik itu antara empat yang terbunuh dalam satu serbuan polis di Solo, Jawa Tengah Indonesia, 17 September lalu selepas kejadian tembak menembak dan letupan.

Noordin yang dikenali sebagai 'Money Man' bagi JI didakwa bertanggungjawab merancang siri pengeboman di Indonesia termasuk serangan ke atas dua buah hotel mewah di Jakarta baru-baru ini yang mengakibatkan sembilan orang terbunuh termasuk dua orang pengebom berani mati.

Kematiannya disahkan Ketua Polis Indonesia, Jen Bambang Hendarso Danuri berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badannya.

Sinar Harian

0 Response to "Jenazah Allahyarham Noordin Mat Top selamat dikebumi"

Post a Comment