SHAH ALAM 21 APRIL : Drama e-mel 1 Malaysia yang melanda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan betapa Kerajaan Barisan Nasional hanya tahu memikirkan keuntungan sendiri tanpa mempedulikan pandangan rakyat.
Exco Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor Rodziah Ismail menganggap rakyat membantah idea itu kerana kegagalan kerajaan pusat menjelaskan secara telus berkenaan projek ini khususnya penggunaan dana untuk menjayakannya.
Rodziah ketika dihubungi Tv Selangor berkata, rakyat berhak mengetahui status sebenar berhubung e-mel 1 Malaysia ini kerana pelbagai pihak sentiasa berdolak-dalih termasuk berlakunya 'kesilapan' di laman web kerajaan yang sebelum ini mencatatkan projek e-mel tersebut sebagai insiatif kerajaan dan bukannya swasta.
"Kenapa PM dan semua yang terlibat bila ditanya, kejap kata kena bayar, kejap kata tak kena bayar. Itu bukan isunya. Yang penting kita sebagai rakyat berhak tahu berapa wang kita yang terlibat semata-mata untuk dapat e-mel promosikan 1 Malaysia ini. Ini tunjukkan seolah-olah Najib terdesak hendak tunjukkan 1 Malaysia ini diterima rakyat," kata beliau ketika dihubungi TV Selangor hari ini.
Unit Pengurusan Pencapaian dan Penghantaran (Pemandu) hari ini terpaksa tampil mempertahankan 'perubahan informasi' berkenaan e-mel 1 Malaysia di laman webnya semalam dengan alasan pertukaran inisiatif swasta daripada insiatif kerajaan itu adalah tidak disengajakan.
Najib dan Pemandu yang berada di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala selepas itu terus menegaskan bahawa firma pengelola projek tersebut, Tricubes Berhad tidak akan menggunakan dana rakyat.
Rodziah bagaimanapun mempersoalkan mengapa Najib begitu tergesa-gesa melakukan hal tersebut sedangkan masih ramai rakyat Malaysia khususnya dari luar bandar masih tidak mempunyai kemudahan asas dan kemudahan internet.
"Apapun, sebagai PM, Najib Razak harus memastikan wang digunakan pada tempat yang sepatutnya. Jika dia ingin menggunakan teknologi, dia harus memikirkan infrastruktur terlebih dahulu,"jelas Rodziah
Rodziah membandingkan projek internet percuma yang sedang giat dijalankan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, yang merupakan sebahagian daripada manifesto di bawah Pakatan Rakyat mula diimplementasikan secara tergesa-gesa oleh kerajaan pusat.
Menurutnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, Barisan Nasional giat memberi wi-fi percuma di beberapa kawasan rumah panjang di negeri itu sedangkan dengan jelas ia merupakan idea Pakatan Rakyat.
"Kerajaan khususnya Najib Tun Razak kena ingat bahawa Kerajaan Selangor telah membuktikan idea wi-fi ini boleh direalisasikan di Peringkat Nasional jika Pakatan Rakyat diberi mandat pada Pilihan Raya Umum akan datang. Kerajaan Selangor dalam kekangan kewangan dan sebagainya berjaya laksanakan program berkaitan teknologi dan wi-fi dan dengan memikirkan keutamaan kami dan bukan hanya mementingkan golongan tertentu sahaja," kata beliau lagi. sumber TVS News
0 Response to "E-Mel 1 Malaysia Bukti Ketandusan Idea BN 'Songlap' Duit Rakyat"
Post a Comment