Terkini

Kuasai Misi Bantuan Gaza : Umno Cuba Bersihkan Imej Dikaitkan Dengan Apco

KUALA LUMPUR : Tindakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) menggagalkan slot ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada Majlis Pelancaran Flotila ke Gaza (Lifeline4Gaza) dan menggunakan sepenuhnya ruang itu bersama-sama NGO pro-Umno , diselar ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.



Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu sepatutnya menyampaikan pidato pada acara itu semalam namun 12 jam sebelum majlis itu berlangsung, beliau diberitahu ucapan beliau dan beberapa NGO pro-pembangkang telah diketepikan bagi memberi laluan kepada Perdana Menteri yang mempunyai jadual padat.


Mat Sabu yang dipetik portal The Malaysian Insider melahirkan rasa terkilan beliau kerana program itu seolah-olah menjadi milik Umno bersama Aman Malaysia keseluruhannya.



Mengulas isu itu, menurut Khalid, jelas sekali tindakan Umno menguasai majlis itu semalam adalah untuk membersihkan imej Perdana Menteri dan Umno yang terpalit dengan syarikat perunding Yahudi, Apco Worldwide.



“Saya nak mendedahkan pandangan saya dalam kes ini, Umno yang dipalit dengan Apco kini sedang membersihkan namanya. Mereka nak tonjolkan diri mereka sebagai pihak yang kononnya membela Palestin kerana satu Malaysia sudah tahu mereka melantik penasihat daripada Yahudi Zionis,” katanya.



Lifeline4Gaza adalah pasukan yang akan menyertai International Freedom Flotilla II ke Gaza yang bakal disertai oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO), wakil kerajaan dan Pakatan Rakyat.


Majlis pelancarannya diadakan semalam di Stadium Badminton Cheras semalam.


Sementara itu, Khalid turut menafikan bahawa beliau lemah semangat untuk menyertai misi keselamatan membantu rakyat Palestin setelah mendapati Umno memonopoli program tersebut.


Beliau juga mengatakan bahawa pengguguran Mat Sabu daripada menyampaikan pidato pada program itu juga tidak memberi kesan kepada sebarang keputusannya untuk menyertai misi kemanusiaan itu.



“Kita tidak lemah semangat. Apa yang saya nyatakan, saya kecewa dengan sikap Umno Barisan Nasional yang seolah-olah merampas kuasa dari Lifeline4Gaza.



“Malam sebelumnya, Setiausaha Datuk Najib kata beliau tidak akan berucap kalau Mat Sabu berucap, Aman Malaysia akan menarik diri, Kerajaan juga akan menarik balik bantuan kepada Lifeline4Gaza. Maka saya kecewa dengan sikap Umno yang ingin mengambil kesempatan demi kepentingan politik mereka sedangkan program ini merupakan anjuran NGO.



“Ini merupakan program penganjur dan sepatutnya kita hormat, bukannya memberikan ugutaan. Ini menunjukkan perkiraan politik tetap menjadi perkara pertama,” katanya.



Khalid menambah, dalam hal ini apa yang menjadi keutamaan ialah keikhlasan dan sebarang niat yang tidak baik akan merosakkan misi secara keseluruhan.



Malah beliau menyifatkan tindakan pengguguran beberapa NGO tanpa pengetahuan mereka sebelum ini seperti Aman Palestin dan Cakna Palestin yang kemudiannya digantikan dengan beberapa NGO pro-Umno adalah satu tindakan yang biadap dan tidak menghormati penganjur.tvs.

0 Response to "Kuasai Misi Bantuan Gaza : Umno Cuba Bersihkan Imej Dikaitkan Dengan Apco"

Post a Comment