Bicara Politik

Bicara Politik
22.1.18 Taiping.
Terkini

PBSMR: Jangan jadikan pelajar bahan ujikaji


KUALA LUMPUR: Lajnah Pendidikan PAS Pusat mempersoal tindakan kerajaan yang dilihat tergesa-gesa ingin menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR).

PBSMR akan menggantikan PMR di bawah satu dasar yang dikenali dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mendapat banyak kritikan daripada guru kerana sistemnya yang sukar untuk dilaksanakan dengan lancar disebabkan oleh kekurangan  prasarana serta isu-isu lain yang berkaitan seperti nisbah guru dan pelajar.

Menurut Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Datuk Abu Bakar Bin Chik, perubahan besar yang dilakukan dalam keadaan tidak bersedia ini akan menjejaskan masa depan pelajar.

"Persoalannya, bagaimana satu perubahan yang besar melibatkan masa depan pelajar boleh dilakukan mungkin dengan keadaan tergesa-gesa tanpa persediaan yang mencukupi?" kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau juga mempersoal hanya empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dilibatkan dalam peperiksaan PBSMR.

"Persoalannya, kenapa PBS telah diputuskan di peringkat PMR dan bukannya UPSR malah kenapa empat subjek teras tersebut peperiksaannya dilakukan secara berpusat seolah-olah pentaksiran berasaskan sekolah itu tidak  diyakini.

"Berdasarkan pelaksanaan sedia ada, PMR adalah peperiksaan peringkat menengah rendah yang membolehkan penilaian diambil ke atas pelajar bagi mengagihkan mereka sama ada kepada aliran Sains, sains sosial atau sastera. Walaubagaimanapun, kerajaan dilihat sangat beria-ria hendak menghapuskan PMR dan menggantikan dengan PBSMR," katanya.

Tambah beliau juga, adalah lebih baik sekiranya dalam pelaksanaan PBS pentaksiran ialah di peringkat UPSR iaitu peringkat yang paling asas supaya kelemahan pelajar dapat dikesan di peringkat awal.

"Dengan itu kelemahan dapat di atasi dan keraguan terhadap kemampuan guru dan sekolah dalam PBS di peringkat UPSR tidak menjadi persoalan yang terlalu besar berbanding di peringkat PMR," katanya.

Selain itu, beliau juga kesal apabila subjek Agama Islam tidak diwajibkan lulus dan tidak termasuk di dalam subjek yang wajib dinilai di peringkat tertinggi seperti Bahasa Inggeris.

"Seharusnya subjek Agama Islam dipandang serius bagi mendidik pelajar berakhlak mulia serta beramal dengan ajaran Islam," katanya.

Beliau juga mengingatkan kerajaan BN supaya tidak menjadikan sekolah sebagai bahan uji kaji dan menjadikan pendidikan sebagai produk perniagaan kepada mana-mana pihak untuk mengaut keuntungan seperti yang telah berlaku dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Di samping itu, Lajnah Pendidikan PAS Pusat juga memberi peringatan agar kerajaan tidak merencanakan bidang pendidikan negara ini untuk membaratkan rakyat dan melemahkan jati diri umat Islam," ujarnya.

0 Response to "PBSMR: Jangan jadikan pelajar bahan ujikaji"

Post a Comment