Bicara Politik

Bicara Politik
22.1.18 Taiping.
Terkini

Dr Mahathir persoal LHDN tidak siasat akaun peribadi Najib.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tiada tindakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap dakwaan sejumlah RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, jika sekarang Umno memerlukan RM2.5 bilion untuk pilihan raya umum (PRU), ia tetap melanggar aturan peraturan dan undang-undang pilihan raya, dan akaun perbelanjaan setiap calon perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Adalah salah jika ia melebihi jumlah tertentu. Saya pohon maaf jika peraturan ini sudah digugur. Ia diadakan untuk mengelak daripada rasuah berlaku," katanya dalam kenyataan tulisan di blognya hari ini.

Dr Mahathir berkata, sepanjang tempoh khidmatnya menjadi presiden Umno, sebanyak lima PRU diadakan dan jika disemak perbelanjaan tidak banyak wang digunakan terutama peruntukan daripada ibu pejabat parti, namun Barisan Nasional (BN) tidak pernah menang kurang daripada dua pertiga kerusi Parlimen.

Beliau mengakui pernah berada dalam situasi dipaksa LHDN membayar cukai pendapatan walaupun duit di dalam akaunnya itu adalah diberikan oleh Umno bagi tujuan parti dan pilihan raya.

Katanya, ketika disingkirkan daripada Umno pada 1970, Jabatan Hasil Dalam Negeri ketika itu menggeledah rumah dan kliniknya, serta menjumpai keratan cek digunakan dan mendakwa beliau tidak melaporkan pendapatan sepenuhnya.

Dr Mahathir berkata disebabkan itu, beliau didenda jabatan itu sebanyak RM300,000 malah dikenakan amaran akan dikenakan denda 3 kali ganda jika membantah dan pergi ke mahkamah.

"Saya tidak pergi ke mahkamah. Sebaliknya merayu duit yang dimasukkan dalam akaun saya ialah daripada parti. Tetapi ibu pejabat Umno tidak mengaku wang itu daripada Umno.

"Akhirnya saya dikenakan denda sebanyak RM130,000. Di waktu denda ini dikenakan, saya sudah dilantik menteri dalam kerajaan.

"Saya membayar secara beransur-ansur dan selesai bayaran semasa saya menjadi timbalan perdana menteri," katanya.

Katanya, ada sedikit perbezaan antara wang tunai sebanyak RM20,000 yang diterimanya dan cek sebanyak AS$700 juta (RM2.6 billion) yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Beliau bagaimanapun enggan menyentuh isu 1MDB walaupun sebagai rakyat yang membayar cukai beliau berhak mempersoalkannya.

"Saya tidak hendak soal dari mana datang AS$700 juta ini. Saya akan tunggu sehingga Ketua Audit Negara dan PAC buat laporan terakhir, walaupun saya tidak lagi dapat terima bulat-bulat segala kenyataan yang akan diperbuat.

"Soal yang saya ingin tanya ialah, apakah LHDN bertindak dengan kuasa yang diberi kepadanya ke atas wang sebanyak RM2.6 bilion yang terdapat dalam akaun peribadi Najib," katanya. – 3 Ogos, 2015

Sumber- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mana-tindakan-lhdn-siasat-rm2.6-bilion-masuk-akaun-najib-soal-dr-mahathir#sthash.trR1mRRq.dpuf


0 Response to "Dr Mahathir persoal LHDN tidak siasat akaun peribadi Najib."

Post a Comment