Terkini

RUU MKN langgar artikel 149 dan 150 Perlembagaan Persekutuan-Anuar Tahir

KENYATAAN MEDIA PARTI AMANAH NEGARA

GERAKAN MENENTANG RANG UNDANG-UNDANG MAJLIS KESELAMATAN NEGARA (MKN) 2015

www.amanah.org.my
1. Parti Amanah Negara (AMANAH) menentang keras tindakan Kerajaan BN melalui Dewan Rakyat yang telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 meskipun ia jelas melanggar Artikel 149 dan 150 Perlembagaan Persekutuan.
2. Artikel 149 dan 150 Perlembagaan Persekutuan adalah peruntukan  melibatkan suasana luar biasa yang memerlukan satu penyelesaian drastik seperti keadaan wujudnya ancaman keselamatan negara dan darurat. Maka dalam suasana itu, penggubal perlembagaan (framers of constitution) telah dengan sengaja memberikan kuasa kepada Yang DiPertuan Agong (YDPA) untuk menggunakan Parlimen membuat undang-undang yang agak keras dan drastik, termasuklah Parlimen diberi kebenaran untuk menggubal undang-undang yang melanggar beberapa peruntukkan dalam Perlembagaan termasuk yang menyentuh hak asasi manusia seperti Artikel 5,9,10 dan 13.
3. Yang jelas, kuasa untuk membenarkan undang-undang seperti MKN ini digubal hanya dirizabkan kepada satu pihak sahaja iaitu YDPA. Selagi mana Perlembagaan belum dipinda, maka kuasa YDPA itu harus dihormati dan dilindungi. 
4. Justeru itu AMANAH memandang serius apabila RUU MKN menyatakan di dalam seksyen 3, bahawa Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri hendaklah menjadi pihak berkuasa pusat untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dengan keselamatan negara. Ia jelas merampas kuasa YDPA yang diperuntukkan di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan.
5. AMANAH juga tidak boleh menerima apabila RUU MKN memperuntukkan bahawa Perdana Menteri sebagai pemutus tunggal bagi mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia yang diganggu atau diancam dengan serius sebagai "kawasan keselamatan" (security area), kerana ia jelas merampas kuasa YDPA.
6. AMANAH juga amat bimbang dengan kuasa-kuasa drakonian yang timbul dari kawasan keselamatan tersebut yang boleh dilihat dalam Bahagian V RUU MKN itu meliputi seksyen 22 hingga 36. Antara kuasa-kuasa drakonian itu adalah kuasa menahan orang masuk ke kawasan keselamatan itu, kuasa memindahkan orang, kuasa memerintah perintah berkurung, kuasa mengawal pergerakan atau jalan dan lain-lain, kuasa menangkap tanpa waran, kuasa memeriksa mana-mana orang, kuasa menggeledah premis, kuasa menyita kenderaan, kuasa mengambil milikan tanah atau bangunan dan banyak lagi.
7. AMANAH juga amat prihatin kepada nasib pegawai-pegawai keselamatan seperti polis dan tentera yang akan menjadi pihak menguatkuasa undang-undang ini jika ia dilaksanakan, dalam keadaan seksyen 35 RUU memberi kuasa kepada Majistret untuk tidak memerintahkan inkues diadakan kepada mana-mana pegawai keselamatan yang terbunuh, sedangkan mungkin wujud sebab-sebab kematian yang meragukan dan memerlukan inkues diadakan bagi mencari punca sebenar kematian.
8. Justeru itu AMANAH mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, agama atau ideologi politik untuk sama-sama menentang RUU MKN ini.
9. Bagi tujuan itu, AMANAH melalui sayap pemudanya akan membuat laporan polis secara besar-besaran bermula esok di seluruh tanahair sebagai langkah awal penentangan kepada RUU MKN ini.
10. AMANAH juga telah mengarahkan kepimpinan AMANAH Negeri untuk menghantar memorandum bantahan tentang RUU tersebut kepada D.Y.M.M Sultan atau Raja dan TYT Yang Di-pertua di negeri masing-masing.
11. AMANAH juga akan bersama-sama Pakatan Harapan memobilisasi rakyat di seluruh negara untuk mengadakan satu perhimpunan aman besar-besaran di Istana Negara, meminta Majlis Raja-Raja dan YDPA mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan RUU tersebut tidak diwartakan sebagai undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini.
12. AMANAH juga telah mengarahkan “Kanun” iaitu Biro Undang-Undang AMANAH untuk mengkaji tindakan Mahkamah bagi mencabar keabsahan RUU tersebut jika Kerajaan BN masih berkeras ingin mewartakan RUU tersebut sebagai undang-undang.
13. Akhirnya, AMANAH juga akan membuat road show ke seluruh negara bagi menyedarkan rakyat tentang kesan buruk RUU ini kepada negara dan rakyat seluruhnya.
"Harapan Baru"
MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
8 Disember 2015

0 Response to "RUU MKN langgar artikel 149 dan 150 Perlembagaan Persekutuan-Anuar Tahir"

Post a Comment