Terkini

Dato Takiyuddin baca hujah Rafizi Ramli ini, tentang Tabung Haji.

RIZAB TABUNG HAJI NEGATIF: ALASAN ASET KUMPULAN TABUNG HAJI KUKUH CUBAAN MENGELIRUKAN RAKYAT

Sehingga kini saya masih menunggu reaksi dari Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail kepada kenyataan media saya bertarikh 27 Januari 2016 yang telah menunjukkan bahawa rizab Tabung Haji sebenarnya telah menjadi negatif sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 lagi. Mengambil kira prestasi Bursa Kuala Lumpur yang tidak memberangsangkan dalam tahun 2015, sudah tentu kedudukan rizab negatif ini adalah lebih buruk bagi tahun 2015.

Kenyataan saya itu tidak disanggah malah keseluruhan kepimpinan kerajaan dan Tabung Haji mengelak dari menjawabnya.

Saya kesal kerana Datuk Seri Azeez Rahim bersembunyi di sebalik kenyataan rasmi Tabung Haji bahawa kononnya walaupun rizab Tabung Haji adalah negatif, itu tidak menjejaskan kedudukan kewangannya kerana nilai keseluruhan aset anak-anak syarikatnya adalah lebih besar dan mampu menampung keperluan kewangan Tabung Haji.

Kenyataan ini seolah-olah cuba mengelirukan rakyat terbanyak yang kurang arif dengan laporan kewangan.

Untuk menggambarkan keadaan sebenar di antara kedudukan rizab Tabung Haji yang negatif dan nilai aset keseluruhan anak-anak syarikatnya, saya lampirkan penerangan mengenai Penyata Kedudukan Kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 seperti berikut:

1. Anak syarikat terbesar yang mempunyai aset terbesar di dalam kumpulan Tabung Haji adalah Bank Islam. Oleh itu, aset-aset Bank Islamlah yang mempunyai kesan terbesar apabila digabungkan (“consolidated”) di dalam penyata kewangan di peringkat kumpulan Tabung Haji.

2. Lihat penyata aset kumpulan Tabung Haji seperti di bawah:

3. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, aset Tabung Haji (bersendirian) adalah RM54.751 bilion sementara aset kumpulan Tabung Haji (digabungkan dengan anak-anak syarikat) adalah RM107.038 bilion. Nilai aset anak-anak syarikat Tabung Haji adalah RM52.287 bilion (iaitu RM107.038 bilion tolak RM54.751bilion) dan alasan inilah yang digunakan kononnya anak-anak syarikat Tabung Haji mempunyai aset yang besar sebanyak RM52.287 bilion yang mampu menampung rizab Tabung Haji yang negatif.

4. Apabila diteliti perincian aset-aset ini satu persatu, dua bentuk aset paling besar yang disumbangkan oleh anak-anak syarikat Tabung Haji ialah “Securities available-for-sale” dan “Financing” iaitu jumlah sumbangan aset anak syarikat dari dua kategori ini sebanyak RM 41.683 bilion.

5. 80% dari aset anak syarikat yang digabungkan di dalam kumpulan Tabung Haji (iaitu RM41.683 bilion dari RM52.287 bilion) adalah terdiri dari “Securities available-for-sale” dan “Financing” iaitu dua kategori aset terbesar Bank Islam. Ini bermakna 80% dari aset anak syarikat yang kukuh yang diwar-warkan mampu membantu rizab Tabung Haji yang negatif itu datangnya dari Bank Islam.

6. Nota 8 kepada Penyata Kewangan memberikan perincian kepada “Securities available-for-sale” seperti berikut:

7. Rujuk Nota 8 di atas – sebenarnya sejumlah RM11.455 bilion aset yang disumbangkan oleh Bank Islam itu adalah “Government debt securities” iaitu hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Persekutuan yang dibeli oleh Bank Islam (dikira RM12.835 bilion tolak RM1.380 bilion). Aset ini, walaupun diwar-warkan sebagai aset kumpulan Tabung Haji, adalah aset yang tidak boleh ditunaikan segera kerana dalam keadaan kesempitan kewangan sekarang, Kerajaan Persekutuan tidak berkemampuan untuk melangsaikan hutang ini jika dituntut. Oleh itu, aset ini tidak boleh digunakan untuk menampung rizab Tabung Haji yang negatif.

8. Nota 12 pula memberi perincian kepada aset “Financing” seperti berikut:

9. Rujuk Nota 12 di atas – sebenarnya aset “Financing” sebanyak RM28.077 bilion (iaitu RM29.524 bilion tolak RM1.448 bilion) adalah segala bentuk pinjaman yang diberikan oleh Bank Islam kepada pelanggannya. Maka jumlah RM28.077 bilion ini tidaklah cair dan tidak boleh ditunaikan segera jika Tabung Haji memerlukan dana untuk membayar dividen atau menampung rizab negatifnya.

10. Malah, sebarang keputusan Bank Islam untuk mencairkan aset-aset ini (“Securities available-for-sale” dan “Financing”) adalah tertakluk kepada peraturan Bank Negara Malaysia untuk mengelakkan tindakan tergesa-gesa mencairkan aset yang boleh menjejaskan kestabilan sistem perbankan dan kewangan negara.

11. Oleh sebab itulah Bank Negara Malaysia mengeluarkan surat menegur pengurusan dana pendeposit Tabung Haji kerana Bank Negara Malaysia tahu aset-aset anak syarikat Tabung Haji adalah terikat di dalam bentuk-bentuk di atas.

12. Tambahan pula, kedua-dua aset di atas yang berjumlah RM41.683 bilion (rujuk Jadual 1) bukanlah berpunca dari pendeposit Tabung Haji atau keuntungan Tabung Haji. Dana asal yang digunakan oleh Bank Islam untuk memberikan pinjaman kepada pelanggannya dan membeli terbitan hutang Kerajaan Persekutuan adalah diperolehi dari simpanan pemegang-pemegang akaun Bank Islam seperti yang ditunjukkan di dalam Penyata Hutang:

13. Bank Islam berhutang dengan pemegang-pemegang akaun Bank Islam sebanyak RM38.369 bilion dan mempunyai tanggungan liabiliti takaful yang perlu dibayar kepada pemegang polisi takaful sebanyak RM6.323 bilion. Jumlah hutang yang ditanggung oleh Bank Islam ialah RM44.692 bilion, iaitu lebih besar dari nilai aset-aset yang disumbangkannya kepada kumpulan Tabung Haji iaitu RM41.683 bilion.

Maka, kesimpulan dari angka-angka penyata kewangan Tabung Haji yang diaudit ini adalah seperti berikut:

i. Nilai aset-aset anak syarikat Tabung Haji yang diwar-warkan kukuh dan mampu menampung rizab negatifnya itu adalah aset-aset Bank Islam yang berjumlah RM41.683 bilion yang digabungkan di dalam kumpulan Tabung Haji;

ii. Aset-aset ini tidak cair dan tidak boleh ditunaikan segera kerana ia berbentuk pinjaman yang diberikan oleh Bank Islam kepada pelanggan dan Kerajaan Persekutuan. Malah, aset-aset ini tidak boleh digunakan bagi tujuan lain kerana ia perlu menanggung hutang Bank Islam berjumlah RM44.692 bilion iaitu jumlah simpanan rakyat yang didepositkan dan tanggungan polisi takaful;

iii. Untuk memenuhi tanggungjawabnya membayar kembali simpanan rakyat yang menabung dengannya dan membayar dividen/bonus, Tabung Haji tidak ada pilihan lain kecuali menggunakan dana dan asetnya sendiri;

iv. Penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menunjukkan Tabung Haji telah mempunyai rizab negatif yang bermakna ia tidak cukup dana dan aset untuk menampung pembayaran balik simpanan rakyat sekiranya dikeluarkan serentak, apatah lagi untuk membayar dividen/bonus.

Saya berharap kepimpinan Tabung Haji berhenti mengelirukan rakyat dengan berselindung di belakang terma-terma kewangan yang cuba menyembunyikan perkara sebenar.

Jika benar kedudukan kewangan Tabung Haji kukuh, saya menyeru supaya Datuk Seri Azeez Rahim mengadakan satu taklimat terbuka kepada pendeposit Tabung Haji dan bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan rakyat. Saya akan hadir sebagai salah seorang pendeposit kerana separuh dari simpanan hari tua saya adalah di dalam Tabung Haji.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
29 Januari 2016

2 Responses to "Dato Takiyuddin baca hujah Rafizi Ramli ini, tentang Tabung Haji."

  1. takiyudin tkkan bcnya. sebb dia tkfaham 1 benda pun. bila bc figure dn istilah2 kewangan dia pening..

    setakat ckp yakin dgn penerangan menteri beruk pun boleh.

    berilah hujah fact n figure apa asas keyakinan itu. sedangkn rafizi menyanggah dakwaan TH dgn faktor yg byk.

    terbukti pasug tktau apapun. hnya pertahan hubungan sulit dgn umnu. penyamun pun penyamunlah.. hati dh jatuh cinta...apa nk dikata lg. cinta sumbang itu buta.

    hj hadi? jgn tnyala... lg tktau apapun bab ekonomi n kewangan. yg dia nmpk bilalah nk merasa sikit 2.6b tu.

    klu nk bc tulisan ni pun mungkin titm je. itupun tklama nnti dituduh tk wala.

    mengaku sajalh memang pasug kosong bab urusan dunia. kini urusan akhirat pun dipermainkn hudud.

    memalukan umat saja

    ReplyDelete
  2. maaflah...masalah Tabung Haji, PAS tak mainlah...itu donia.....

    ReplyDelete