Terkini

Kembalikan biasiswa,JPA jangan mangsakan masa depan anak bangsa

Kenyataan Media

KEMBALIKAN BIASISWA JPA, HENTI MANGSAKAN MASA DEPAN ANAK BANGSA

1. Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan ini merakamkan kekesalan dan amat dukacita di atas tindakan kerajaan menggantung pemberian biasiswa kepada pelajar universiti di bawah tajaan JPA. 

2. Sementara AMANAH sangat memahami kedudukan kewangan negara yang jelasnya akan berdepan dengan penguncupan pendapatan negara akibat penurunan minyak mentah dunia, kami mengingatkan kepimpinan BN supaya jangan sama sekali memangsakan masa depan anak bangsa.

3. AMANAH beranggapan bahawa pendidikan merupakan sektor terpenting dalam pembangunan modal insan bagi memacu pembangunan lestari dan dayasaing tinggi negara. 

4. Rakyat masih ingat potongan RM2.4bilion yang dibuat ke atas sektor Pendidikan dan khususnya ke atas semua IPTA dalam Bajet 2016. Penggantungan biasiswa ini mengesahkan lagi ketidakprihatinan kerajaan terhadap pendidikan dan pelaburan masa depan negara.

5. Dengan penggantungan biasiswa ini juga, AMANAH kesal apabila ramai pelajar cemerlang lepasan SPM 2015 bakal terlepas peluang dan cita-cita mereka untuk menyambung pelajaran ke universiti terkenal peringkat dunia di dalam dan juga di luar negara. 

6. AMANAH juga berpendapat bahawa golongan terbesar yang bakal terkesan daripada penggantungan ini adalah anak-anak muda Melayu khususnya golongan yang berpendapatan rendah tetapi cemerlang dalam pelajaran. 

7. Para penyelidik dan para akademik sepakat bahawa pendidikan adalah kaedah paling berkesan mengubah dan mengeluarkan keluarga daripada kepompong serta garis kemiskinan.

8. AMANAH dengan ini memberi peringatan kepada kerajaan supaya jangan sesekali mengorbankan masa depan serta kepentingan anak muda dengan menggantung pemberian biasiswa ini.

9. Sebaliknya penstrukturan semula bajet negara perlulah dibuat melalui potongan ke atas perbelanjaan yang tidak munasabah seperti perbelanjaan mengurus Pejabat Perdana Menteri dan peruntukan RM8.5 bilion dalam pelbagai 'Slush Fund' yang tidak punya kebertanggungjawaban yang jelas. Sayugia kami mencadangkan agar peruntukan ini yang dipotong dan dipindahkan kepada peruntukan pendidikan dan biasiswa pelajar.

10. Akhirnya, AMANAH dengan penuh tanggungjawab mengesa agar kerajaan Dato Seri Najib Tun Abdul Razak segera bertindak menarik balik penggantungan pemberian biasiswa dan program Bursary di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. 

"Harapan Baru"

YB AMINOLHUDA HASSAN
Pengerusi Biro Pendidikan 
Parti Amanah Negara (AMANAH)
21 Januari 2016

0 Response to "Kembalikan biasiswa,JPA jangan mangsakan masa depan anak bangsa"

Post a Comment