Terkini

Polis kena siasat kes blockade kes Gua Musang.

Kenyataan Akhbar Sahabat Alam Malaysia - 30 September 2016

Polis mesti menyiasat kejadian di blockade Orang Asli di Gua Musang

SAM berasa amat gusar tentang laporan media yang melaporkan tentang bagaimana masyarakat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan, telah diperlakukan setelah mereka mendirikan sebuah blockade untuk menghalang operasi pembalakan pada September 27.
Menurut Mustafa Along, setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), sekitar jam 2 petang pada September 28, wakil-wakil syarikat pembalakan telah datang ke lokasi blockade bersama sekumpulan individu dengan beberapa buah kenderaan persendirian. Para penduduk percaya bahawa pihak polis, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan wakil dari dua buah media turut bersama di dalam kumpulan tersebut.
Pihak syarikat kemudian menuntut agar blockade tersebut diruntuhkan. Tidak lama selepas itu, Mustafa telah ditahan dan diarah masuk ke dalam salah sebuah kenderaan yang ada oleh individu-individu yang penduduk percaya merupakan anggota polis. Dua orang penduduk lagi diasingkan dari rakan-rakan mereka.
Blockade tersebut akhirnya diruntuhkan oleh para pembalak. Setelah itu tiga buah lori yang sarat dengan kayu balak, yang telah diparkir akibat dari blockade tersebut, telah dipandu merentasi runtuhan halangan tersebut. Sebuah pondok penduduk di tepi jalan juga telah dilaporkan turut dimusnahkan oleh para pembalak. Di dalam kekecohan yang berlaku ini, para penduduk mendakwa dua das tembakan telah dilepaskan ke udara oleh seorang individu yang identitinya tidak dapat dikenalpasti oleh para penduduk.
Sebelum mereka meninggalkan lokasi, para penduduk telah diberi amaran dengan ancaman untuk ditahan sekiranya mereka membina blockade tersebut sekali lagi. Namun para penduduk masih bertekad untuk melindungi hak mereka dan dilaporkan sudah pun membina semula blockade tersebut.
Badan kehakiman kita telah pun mengesahkan bahawa hak tanah adat Orang Asli adalah sejenis hak kepemilikan harta ke atas tanah, yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, adalah tidak lagi wajar lagi dari segi perundangan untuk lesen-lesen pembalakan dikeluarkan tanpa proses pemberian Izin berasaskan Maklumat Awal, Bebas dan Telus (IMABT) oleh masyarakat Orang Asli yang terjejas.
Oleh itu kami menggesa agar kesemua kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk mengkaji semula sistem pengeluaran lesen pembalakan yang wujud hari ini, yang tidak mengendahkan kepentingan proses IMABT.
Kami juga berasa bimbang tentang dakwaan para penduduk bahawa staf Jabatan Perhutanan dan pihak polis telah datang di dalam kenderaan persendirian bersama-sama dengan wakil-wakil syarikat ke tempat kejadian. Dakwaan ini mesti disiasat sepenuhnya oleh kedua-dua penguasa.
Kami menggesa pihak polis agar tidak bersikap berat sebelah di dalam hal ini, untuk menghormati hak perundangan para penduduk dan menyiasat segera kejadian yang telah didakwa penduduk terjadi di lokasi blockade. Penduduk yang membantah operasi pembalakan tidak boleh diganggu atau diancam dengan penahanan disebabkan tindakan mereka untuk melindungi tanah adat mereka dari sebarang pencerobohan. Tindakan mereka ini adalah berdasarkan hak yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, kebebasan untuk berhimpun secara aman dan hak untuk melindungi hartabenda mereka.
S.M. Mohamed Idris
Presiden
SAM

3 Responses to "Polis kena siasat kes blockade kes Gua Musang."

  1. Bukan jawab aja kena turun tu baru MB zaman sahabt rasul saw walau pun isu macam ini tidak ada tapi selaku amir mukminin mesti bertangonggonjawab tu blm ruu355 dilulus

    ReplyDelete
  2. Ahli Parlimen gua musang buat ape kahkah

    ReplyDelete