Terkini

Lantik Pengerusi PAC daripada Pembangkang- Ustaz Nasharuddin Mat Isa

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen hari ini mencadangkan supaya jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diberikan kepada pihak pembangkang bagi memastikan ketelusan badan itu.

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) berkata, walaupun tidak dinafikan bahawa anggota pembangkang turut berada dalam jawatankuasa itu, namun jawatan tertinggi yang boleh dipegang oleh anggota pembangkang hanyalah jawatan Timbalan Pengerusi, yang pada ketika ini dipegang oleh Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Pengerusi PAC kini dipegang oleh Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar).

"Kalau PAC sebagai badan yang sepatutnya menilai, mengawasi dan membuat komen (tentang keputusan kerajaan) datang dari wakil-wakil kerajaan, kita tak dapat melihat ketelusan. Kadang-kadang banyak carian-carian dan hasil-hasil yang dikeluarkan PAC menimbulkan keraguan kepada rakyat dan wakil rakyat," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, dalam sidang Dewan Rakyat di sini.

Nasharudin sebelum itu mencadangkan pewujudan sistem jawatankuasa di Parlimen bagi memantapkan sistem Parlimen di negara ini, seperti yang diamalkan di banyak negara membangun dan maju, termasuk Australia dan New Zealand.

Beliau berkata, penubuhan sistem itu adalah untuk menilai cadangan undang-undang, menyemak bajet dan pengawasan kerajaan yang berkesan.

Dengan wujudnya sistem itu, kejadian seperti penarikan balik undang-undang yang telah dibentangkan dapat dielakkan kerana ia perlu dibentangkan kepada anggota jawatankuasa terlebih dahulu, selain menjimatkan masa perbahasan bajet kerana bajet tersebut telah dibentangkan di hadapan anggota-anggota jawatankuasa yang telah dilantik, katanya.

Nasharudin berkata, setiap anggota jawatankuasa patut diberikan akses maklumat untuk tiap-tiap kementerian.

Bagi menjadikan Parlimen negara ini berfungsi sebagai Parlimen bertaraf dunia, Nasharudin berkata Parlimen perlu menjadi lebih mesra rakyat dan dijadikan tempat rujukan rakyat mengenai permasalahan semasa termasuk isu akademik.

Beliau berkata, beberapa hari juga wajar diperuntukkan bagi anggota dewan bertemu secara langsung dengan rakyat termasuk wakil-wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO), wakil-wakil penduduk dan mahasiswa.

Persidangan dewan bersambung hari ini. - BERNAMA

0 Response to "Lantik Pengerusi PAC daripada Pembangkang- Ustaz Nasharuddin Mat Isa"

Post a Comment