Terkini

Jenayah jual warganegara, UMNO cuba bermain api.

oleh Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my

Umno-Barisan Nasional nampaknya cuba 'bermain dengan api', melakukan kerja yang amat berisiko tinggi gara-gara bimbang kuasa yang dipegang sejak sebelum merdeka, tumbang di tangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


Umno-BN jangan cuba hendak mengelak bahawa selama ini, merekalah mengambil kesempatan daripada kemasukan sejumlah besar pendatang asing, sehingga berjuta-juta pendatang masuk ke dalam negara tanpa sebarang sekatan, sama ada dengan permit atau tanpa permit.


Ramainya pendatang asing, dapat kita lihat sendiri kebanjiran mereka di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur, khususnya pada hujung minggu, terutamanya pada cuti umum musim perayaan.


Kita akan dapati pendatang asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan sebagainya bertaburan di merata-rata lokasi di pusat bandar.


Kadang-kadang kita akan merasa jelek dan jengkel dengan gelagat mereka, akibat terlalu ramainya mereka, mereka berani berkelakuan sumbang, mengusik anak-anak gadis kita, sehingga berkumpulan melakukan pelbagai onar dan jenayah.


Kebanjiran pendatang asing ini mula berlaku seawal 1980-an. Agensi pekerja asing tumbuh bagai cendawan. Kebanyakannya agensi-agensi ini dimiliki oleh pemimpin Umno dan kroni-kroni mereka.


Mereka mengaut keuntungan berlipat ganda dengan membawa pendatang asing, mengenakan bayaran sehingga bertahun-tahun.


Lama-kelamaan, akibat daripada besarnya jumlah pendatang asing, mereka sudah beranak pinak, enggan pulang ke negara asal dan menurut undang-undang mereka layak memohon kerakyataan tetap atau status Permanent Resident.


Ramainya pendatang asing ini, kita boleh lihat daripada penempatan asal orang Melayu di Kuala Lumpur, misalnya di Kampung Datuk Keramat, Kampung Pandan, Gombak, semuanya sudah menjadi koloni pendatang Indonesia.


Mereka dibawa masuk pada awalnya kerana hendak digunakan sebagai buruh binaan untuk membantu industri pembangunan dan sebahagiannya dijadikan sebagai buruh di ladang.


Jika adapun sektor lain, pekerja asing dibawa masuk berdasarkan kepada profesionalisme mereka, seperti dalam bidang perubatan, industri berat dan sebagainya.


Namun akibat daripada longgarnya sistem kita, peranan mereka diperluaskan ke stesyen minyak, perkilangan, pembuatan dan lain-lain lagi.


Tetapi hari ini, pendatang asing sudah membanjiri semua sektor pekerjaan dalam negara. Semua pasaraya besar menggunakan khidmat pekerja asing, pasar awam, kedai-kedai runcit, restoran makanan segera sehinggalah kepada hotel empat bintang, menggunakan khidmat pekerja asing.


Itu pun belum diperincikan dengan jelas sama ada mereka dibawa bekerja dengan permit yang sah atau yang tidak berpermit. Jika diperiksa secara terperinci, nescaya ramai yang tidak berpermit.


Tetapi persoalan sah atau tidak mereka bekerja dalam negara, tidak penting buat Umno-BN. Sekarang ini mereka tahu pendatang asing, boleh dijadikan aset untuk melindungi kuasa mereka.


Kes pendatang asing diberikan kerakyatan, sudah lama didengar berlaku di Sabah.


Sekarang ini heboh pula di Semenanjung, khususnya di Selangor, di mana pemberian taraf kewarganegaraan kepada pendatang asing diberikan secara 'pukal' mutakhir ini.


Bagi PAS, ianya suatu konspirasi terancang menjadikan pendatang asing untuk mendapatkan taraf Penduduk Tetap (PR), dan kemudiannya menjadi warganegara.


Lebih malang lagi apabila ada kalangan mereka walaupun masih bertaraf PR, mereka ada yang telah dimasukkan dalam senarai daftar pemilih. Tujuan apa nama mereka dimasukkan ke dalam daftar pemilih jika tidak bertujuan untuk menyelamatkan Umno.


Apa yang berlaku sekarang ini amat mencurigakan. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan penjenayah yang menjual hak kewarganegaraan sewenang-wenangnya.


Kita mahu suatu tindakan tegas diambil. Kita mahu siasatan segera dijalankan ke atas Umno-BN, Jabatan Pendaftaran Negara, SPR dan Imigresen dan mana-mana pihak terbabit.


Hentikan kedangkalan mereka sebelum negara musnah.

****really now*****

0 Response to "Jenayah jual warganegara, UMNO cuba bermain api."

Post a Comment