Terkini

Bersih desak panel SPR letak jawatan

YDP Bukit Gantang ,Ustaz Nordin Jaafar bersama Dato' A Samad mempromosi BERSIH 3.0 sebaik selesai Pak Samad berceramah di Kg Chengal Jantan ,Bukit Gantang.

KUALA LUMPUR - Bersih 2.0 mendesak kesemua ahli panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk pengerusinya meletak jawatan serta-merta atas alasan rakyat sudah tidak lagi yakin dengan badan pengendali pilihan raya.


Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said mendakwa ahli-ahli panel SPR yang ada sekarang tidak lagi diyakini dan dipercayai oleh orang ramai khususnya membabitkan status daftar pemilih.


Menurutnya, terdapat lebih 400,000 pengundi yang disyaki, dan nama-nama itu telah dikesan oleh Malaysia Electoral Roll Analysis Project (Merap).


"Perkara ini perlu diselesaikan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang. Tetapi SPR dilihat gagal berbuat demikian.


"Hasil penyelidikan Merap, terdapat 10 masalah pokok dikenal pasti, khususnya dengan daftar pengundi," katanya.


Kenyataan media yang dikeluarkan pada sidang media menyebut bahawa lebih memeranjatkan lagi, penipuan terus-menerus dirancang.


"Kerja-kerja jahat ini telah diketahui oleh orang ramai.


"Ia tidak dapat disorokkan lagi. Penipuan ini telah menerima teguran Jawatankuasa Pilihan Khas tentang penambahbaikan pilihan raya," kata kenyataan itu lagi.


Ia menambah, hasil penyelidikan Merap telah mengenal pasti 10 masalah pokok iaitu khusus berkaitan daftar pemilih.


"Hasil penyelidikan ini juga memperkukuhkan keperluan untuk membersihkan daftar pemilih sebelum pilihan raya umum dijalankan," jelas kenyataan itu.


Malah menurut kenyataan itu, SPR terbukti telah gagal menjalankan tanggungjawab untuk memastikan pilihan raya yang bersih dan adil.


"SPR bukannya menjamin satu orang satu undi, sebaliknya SPR telah bersekongkol dalam penipuan yang diterangkan," kata kenyataan ini lagi.


Kenyataan itu juga berkata, membiarkan ahli panel SPR sekarang terus bertugas hanya akan menjadikan pilihan raya umum akan datang ini terkotor, tidak adil dan tidak demokratik," katanya lagi.


"Lebih memeranjatkan, SPR telah dengan gigih menyekat penambahbaikan pilihan raya dengan tidak menghiraukan sepenuhnya tujuh lagi tuntutan Bersih 2.0," jelas kenyataan itu.


"Oleh itu Bersih 2.0 menggesa ahli panel SPR agar meletak jawatan serta-merta. Mereka wajib digantikan dengan ahli-ahli panel yang baru, yang sanggup bertindak untuk memastikan pilihan raya akan dijalankan secara bersih dan adil," kata kenyataan itu lagi.


Bersih 2.0 mahu mengadakan kempen protes Duduk Bantah Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, 28 April ini.

0 Response to "Bersih desak panel SPR letak jawatan"

Post a Comment