MACHANG - Setelah lima bulan, Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul
Zaman Sukri, 24, tampil memberi penjelasan dakwaan beliau menyamakan
Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Nabi
Muhammad SAW.
Shamsul Zaman yang baru pulang dari Yaman berkata, beliau tidak pernah
menyamakan Mursyidul Am Pas itu dengan Nabi, sebaliknya menerangkan
kepimpinan dan pemerintahannya yang mencontohi Rasulullah SAW.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat semasa ceramahnya di Johor tiga tahun
lalu itu dimanipulasi pihak tertentu demi kepentingan politik.
”Saya bukan menyamakan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dengan Nabi, tetapi
memberi contoh atau perumpamaan kepimpinan yang dilaksanakan oleh Tok
Guru sama seperti nabi. Ulama adalah pewaris Nabi, maknanya ulama ini
pengganti Nabi tetapi bukan Nabi secara fizikal.
”Jika saya menyamakan Tok Guru dengan Nabi, maka sesatlah saya,
kafirlah saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Paloh Rawa di sini,
semalam.
Akhir tahun lalu, rakaman video ceramah Shamsul Zaman yang dikatakan
melabelkan ulama dan Mursyidul Am Pas itu seperti Nabi itu disiarkan
sebuah portal sebelum mendapat reaksi pelbagai pihak.
Malah, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan
menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Kelantan berhubung ceramah itu dan meminta penyiasatan
dilaksanakan bagi mengelak akidah umat Islam terpesong.
Dalam masa sama Mufti Kelantan, Datuk Syukri Mohamad meminta Syamsul
Zaman bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan
akidah.
Sementara itu, Syamsul Zaman turut mempertikaikan kenapa rakaman
kuliah agama itu tidak disiarkan secara keseluruhan, tetapi tertumpu
kenyataan itu sahaja.
Katanya, penyebaran video itu menyebabkan salah faham dan menimbulkan
tanda tanya di kalangan orang ramai terutamanya apabila ia membabitkan
soal akidah.
”Apa yang pasti, video itu telah ditokok tambah, malah saya sendiri
tidak tahu macam mana video itu boleh tersebar sedangkan tiada sebarang
rakaman dilakukan ketika itu.
”Saya bukan penceramah Pas seperti yang didakwa. Saya penceramah bebas.
Kalau Umno jemput saya sekalipun, saya terima, namun apa yang saya
perjuangan dengan apa yang dilakukan Menteri Besar ketika ini selari”
katanya yang berceramah di merata tempat, termasuk masjid dan surau
sejak 12 tahun lalu.
Shamsul Zaman berkata, beliau agak terkejut dengan penyebaran video itu
namun menerimanya secara terbuka dan menganggapnya sebagai ujian ALLAH
SWT.
Katanya, beliau bersedia memberi penjelasan kepada khalayak termasuk
Kerajaan Kelantan jika diminta berbuat demikian bagi mengelakkan salah
faham yang berterusan.
“Saya tidak gementar dengan ujian ini dan bersedia (hadapi) setiap
yang berlaku, malah ia memberi kekuatan untuk terus berdakwah,.
Namun
jika diberikan peluang kepada saya untuk berada di petas umum termasuk
bersama Menteri Besar dan ulama lain untuk menerangkan apa saya ucapkan
sebelum ini,” katanya.
0 Response to "Ustaz Budak sudah kembali dari Yaman"
Post a Comment