Terkini

YB Idham Lim nafi tutup pusat khidmat.


PARIT BUNTAR - Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim menafikan dakwaan pejabat pusat khidmatnya, di Taman Kerian Permai, di sini ditutup untuk memberi tumpuan kepada kawasan baru bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Khalil berkata, dakwaan kononnya beliau mengabaikan pengundi di kawasannya kerana mahu memenangi hati pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar, kerusi bakal ditandingi pada PRU13, sebagai spekulasi tidak berasas.

"Tuduhan saya meninggalkan kawasan untuk menumpukan perkhidmatan di Parlimen Kuala Kangsar tidak tepat memandangkan pengurusan parti peringkat negeri mengarahkan saya membantu PR (Pakatan Rakyat) memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU13," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, beliau kini mengagihkan jadual perkhidmatannya iaitu memperuntukkan masa tiga hari di Dun Titi Serong dan empat hari di Parlimen Kuala Kangsar demi memastikan tanggungjawabnya tidak diabaikan.

“Sejak dulu lagi, saya dengar banyak dakwaan menuduh saya menutup pejabat pusat khidmat, malah ada yang tuduh saya tinggalkan kawasan dan abai kebajikan rakyat.

“Sebenarnya, selepas isu rampasan kuasa pentadbiran pada tahun 2009, pejabat pusat khidmat saya dan beberapa Adun lain kembali suram dan kurang dikunjungi rakyat.

“Bagaimanapun, sehingga kini, saya menerima banyak permohonan mendapatkan sokongan dan bantuan daripada rakyat Titi Serong dan senario ini membuktikan saya benar-benar memberikan komitmen untuk membela nasib rakyat kawasan ini,” katanya.

Ditanya adakah sahih beliau bakal dicalonkan di Parlimen Kuala Kangsar, Khalil Idham menyerahkan perkara itu kepada pucuk kepimpinan parti dan hanya melaksanakan arahan mereka untuk mengatur jentera pilihan raya Pas dan PR di kerusi Parlimen itu.sumber sinar

“Sekiranya saya diputuskan sebagai calon, saya terima dengan hati terbuka dan berjanji akan bekerja kuat untuk memenangi kerusi yang kini diduduki bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

“Saya juga yakin dengan keupayaan sesiapa sahaja yang dicalonkan di kawasan Dun Titi Serong, dengan syarat calon dan jentera parti perlu bekerja kuat untuk memenangi hati rakyat,” katanya.

0 Response to "YB Idham Lim nafi tutup pusat khidmat."

Post a Comment