Terkini

Bekalan beras mampu bertahan untuk tempoh sebulan- Prof Dr Che Fauziah.


PARIT BUNTAR - Hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan, jaminan mengenai bekalan makanan negara masih membimbangkan berikutan prestasi pengeluaran padi di lapan jelapang padi utama negara masih di tahap rendah dan gagal mencapai sasaran ditetapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (KPIAT).

Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Pertanian UPM, Profesor Dr Che Fauziah Ishak memaklumkan, bekalan beras negara hanya mampu bertahan untuk tempoh sebulan sekiranya berlaku krisis makanan atau sekatan import antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau menggesa petani berganding bahu dengan agensi kerajaan untuk mempertingkatkan hasil pengeluaran padi bagi memastikan stok bekalan beras negara mencapai keperluan 95 peratus penduduk negara ini.

"Malaysia masih perlu mengimport 30 peratus beras dari luar negara untuk memenuhi keperluan lebih 28 juta rakyat. Saya khuatir negara akan mengalami masalah kebuluran sekiranya tiada inisiatif penanaman padi berskala besar direncanakan oleh kerajaan.

"Melalui dasar jaminan bekalan makanan, kerajaan perlu menyasarkan negara mencapai sasaran pengeluaran itu tanpa perlu bergantung kepada beras import. Saya harap petani ambil peluang keemasan ini untuk mempertingkatkan hasil pengeluaran padi," katanya ketika ditemui di Titi Serong, di sini.

Sebelum itu, beliau mengetuai rombongan pakar penyelidikan dari UPM menganjurkan program Klinik Pengembangan Pertanian Putra dengan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian yang turut dihadiri Pengarah IADA Kerian, Zahimi Hassan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan purata hasil pengeluaran padi di setiap jelapang padi hanya mampu mencapai tiga hingga 4.5 tan metrik sehektar pada setiap musim sedangkan sasaran kerajaan adalah sekurang-kurangnya mencapai tujuh hingga lapan tan metrik sehektar.

"UPM dengan kerjasama Majlis Profesor Negara sedang cuba mengkaji punca sebenar hasil padi negara ini tidak mencapai tahap yang diharapkan. Kajian turut mendapati prestasi hasil padi berbeza antara setiap jelapang padi.

"Salah satu faktor wujudnya perbezaan ini adalah tahap kesedaran petani dalam memastikan ilmu pertanian mereka sentiasa dipertingkatkan selaras dengan kepekaan mereka dalam mengaplikasikan teknologi pertanian terbaru," katanya. sumber

0 Response to "Bekalan beras mampu bertahan untuk tempoh sebulan- Prof Dr Che Fauziah."

Post a Comment