Terkini

Kanak-kanak menangis tangan tersepit.

GAMBAR - Bomba mengambil masa 20 minit mengeluarkan tangan Mohd Uqshah yang tersepit di mesin adun kuih di Muar. - Foto Fairul Asmaini Mohd Pilus



Muar: Seorang bayi lelaki berusia 13 bulan cedera tangan kiri yang tersepit pada mesin pengadun kuih ketika menemani ibunya bekerja membuat kuih raya di sebuah kilang di Taman Utama Bakri, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Mohd Uqshah Iman Ramli, turut luka dan berdarah pada mulut disepit mesin berkenaan ketika sedang bermain berhampiran alat itu yang diletakkan di atas lantai.

Ibunya, Maznah Osman, 37, berkata dia sedang bekerja dan tidak sedar anaknya menghampiri mesin itu sebelum Uqshah tiba-tiba menjerit dan menangis dengan kuat kerana tangan kiri disepit mesin sedang bergerak itu.

“Badannya turut bergerak mengikut mesin itu yang berpusing sehingga mengakibatkan mulutnya terhantuk sebelum berdarah dan bengkak.

“Walaupun suis dimatikan, tangan anak saya masih tersepit di antara bekas tepung dan bahagian utama mesin.

“Usaha menarik keluar tangannya tidak berhasil. Saya menghubungi bomba yang menghantar tiga anggota kira-kira jam 11 pagi dan mengambil masa 20 minit mengeluarkan tangan anak saya.

“Uqshah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Pemilik kilang, Norhadidah Harun, 43, berkata ketika kejadian, dia berada di tingkat atas premis itu sebelum mendengar bayi berkenaan menjerit dan bernasib baik kerana seorang pekerja bertindak pantas menutup suis mesin, sekali gus mengelak kejadian lebih buruk

0 Response to "Kanak-kanak menangis tangan tersepit."

Post a Comment