ISU Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ternyata meletakkan Kementerian Pendidikan yang diterajui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kontroversi sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
SPPBS menyebabkan kerajaan, kementerian, Muhyiddin; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, timbalan-timbalan menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan diserang siang malam, termasuk warga pendidik sendiri.
Meskipun rungutan dan keluh kesah sudah biasa kedengaran sejak sistem itu mula dilaksanakan pada 1 Januari 2011, namun keadaannya tidaklah seteruk sekarang.
PBS dilaksanakan untuk menggantikan sistem peperiksaan yang sudah sekian lama diamalkan yang disifatkan membebankan pelajar.
Sehubungan itu, PBS yang mempraktikkan pentaksiran secara holistik dalam menilai kemampuan pelajar dianggap jalan terbaik untuk keluar daripada masalah itu kepada suatu corak pembelajaran yang lebih baik dan sesuai dengan keperluan semasa.
Hampir dua tahun dilaksanakan, rungutan terhadap PBS mula disuarakan terutama daripada barisan pendidik dan ibu bapa. Mana tidaknya, apabila guru-guru mula merasa terbeban dengan kerja yang semakin banyak hingga terpaksa berjaga sampai ke subuh semata-mata untuk memasukkan markah pelajar-pelajar dalam sistem yang didakwa terlalu lembab.
Menerusi sistem ini, prestasi pelajar tidak lagi dinilai melalui peperiksaan mahupun ujian sebaliknya dinilai setiap hari oleh guru dan markah perlu dimasukkan dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).
Ibu bapa pula merungut kerana tidak tahu prestasi anak-anak mereka di sekolah. Jika A, B, C, D, E dan F menjadi tanda aras pencapaian anak-anak mereka sebelum ini, kini tidak lagi.
Akibatnya, wujud kumpulan pendesak guru yang menentang pelaksanaan sistem pendidikan itu dan merancang himpunan membantah PBS dan mendesak agar PBS dimansuhkan.
Sejak isu PBS menjadi topik hangat, pelbagai respons berbeza kedengaran daripada pihak kementerian. Pada mulanya, yang banyak disebut hanya perkataan ‘bersabar’, ‘akan dikaji semula’ dan ‘tambah baik’. Namun akhirnya keluar juga perkataan ‘tangguh’.
Tahun lalu, Idris mengakui kelemahan sistem tersebut namun meminta kementerian diberikan masa untuk mengatasi kelemahan itu. Malah beliau juga memberi jaminan bahawa pelaksanaan PBS akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Awal bulan ini, Idris mengulangi kenyataan yang hampir sama, meminta guru-guru bersabar serta memberikan masa kepada kementerian untuk melaksanakan sistem yang telah ditambah baik itu.
“Di kementerian sekarang, kita sedang naik taraf sistem dengan penambahan server, integrasi sistem, penggunaan platform yang baru dan migrasi data. Kita harap apabila sistem ini dibuka pada 1 April nanti, kita tidak lagi mempunyai masalah sistem.
“Kita harap (guru-guru) bersabar kerana ada yang mula marah pada pelaksanaan sistem ini. Kita buat perubahan, dalam membuat perubahan itu memang ada perkara yang tidak difahami oleh guru. Mungkin kerana komunikasi, masalah sistem yang ‘jammed’,” katanya yang dilihat kerap menuding SPPBS sebagai punca permasalahan sedangkan yang ditentang kumpulan pendesak adalah sistem PBS itu sendiri.
Tiga hari kemudian, Muhyiddin sendiri menyatakan bahawa kementerian telah memutuskan untuk mengkaji semula PBS secara menyeluruh.
“Sebelum ini, guru mengadu mengalami masalah untuk memasukkan data berkaitan pelajar ke dalam sistem berkomputer PBS. Sehubungan itu kita menangguhkan pelaksanaan aspek itu sehingga April tahun ini.
“Hari ini (11 Februari) kita buat keputusan untuk kaji semula pelaksanaan PBS secara menyeluruh,” katanya selepas mengadakan perbincangan dan mendengar sendiri permasalahan guru di Putrajaya.
Susulan itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam satu pekeliling menyatakan guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat kementerian dalam masa terdekat.
Idris bagaimanapun kemudian membuat kenyataan yang ternyata menambahkan lagi kekeliruan apabila mengatakan PBS tidak akan dimansuh. Sebaliknya kata beliau, kementerian akan mengumumkan bentuk dan pelaksanaan sistem baharu PBS pada 1 April ini.
Jika diperhatikan, perjalanan pelaksanaan PBS yang pelbagai versi disampaikan kepada warga pendidik dan pelajar malah kenyataan daripada orang atasan kementerian juga tidak konsisten hingga menyebabkan keadaan semakin kelam kabut, mana satu yang mahu diterima antara kenyataan menteri yang juga timbalan perdana menteri atau menteri II?
Tinjauan di laman mikro Twitter pula mendapati, rata-rata pelajar dan ibu bapa keliru mengenai status PBS itu sendiri terutama buat pelajar yang berada di tingkatan tiga. Persoalan mengenai peperiksaan PMR masih menjadi persoalan hingga hari ini.
Tidak kurang juga yang mengkritik tentang tindakan kementerian seolah-olah memperjudikan masa depan anak bangsa dengan pelaksanaan PBS yang tidak dikaji secara menyeluruh sebelum dilaksanakan.
Memandangkan tarikh 1 April sudah diberi, marilah kita menghitung hari itu tiba dan nantikan apa pula kata menteri ketika itu.
Mungkin tarikh 1 April akan dilanjutkan lagi sehingga Mei ataupun Jun seperti yang berlaku sebelum ini.
Namun, kita mengharapkan yang terbaik dalam sistem pendidikan negara kerana kelangsungan sistem itu adalah bakal pencorak masa depan bangsa sekali gus pewaris negara.
0 Response to "PBS:Muhyiddin Yassin diserang siang malam oleh cikgu."
Post a Comment