Terkini

Isu Hukum Hudud:Dewan Ulamak kena terangkan kepada DHPP.


Tak payahlah hendak pecat Hu Pang Chaw.Dewan Ulamak kena jelaskan isu Enakmen Jenayah Syariah II.

KUALA LUMPUR: Biarpun perkara berkaitan Islam sudah difahami sebilangan besar ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), perkara berkaitan Enakmen Jenayah Syariah II perlu diperjelaskan secara terperinci kepada mereka.

Ini kerana, Enakmen Jenayah Syariah II yang merangkumi hukuman hudud masih belum difahami secara jelas oleh kebanyakan ahli DHPP.

Tanggungjawab tersebut perlu dilaksanakan PAS Pusat melalui Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) bagi memastikan penerangan mengenai hudud itu betul-betul disampaikan daripada mereka yang pakar mengenainya.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, berkata tanggungjawab tersebut perlu dilakukan segera bagi menjawab segala persoalan yang timbul berkaitan hudud di kalangan DHPP sendiri.

"Saya difahamkan usaha ke arah penerangan berkaitan hudud itu sedang dilakukan. Cuma, saya harap jika diadakan taklimat sedemikian, panggil sekali DHPP dan ahli-ahlinya bagi memudahkan usaha penerangan kepada golongan bukan Islam," tegas beliau.

Bercakap kepada Harakahdaily ketika dihubungi hari ini, Mujahid berkata adalah lebih baik jika siri penerangan itu dilakukan antara DUPP dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan sendiri.

"LPN tidak banyak terlibat dengan siri penerangan hudud ini kerana PAS ada pasukan sendiri berkaitan hudud, yang diketuai DUPP sendiri. Tetapi, LPN tiada halangan untuk membantu di mana yang perlu jika diperlukan oleh PAS Pusat dalam usaha memudahkan lagi urusan tersebut," kata beliau.

Sebelum ini, Naib Pengerusi DHPP, Vincent Lee mengatakan kebanyakan ahli DHPP sendiri tidak jelas dan faham berkaitan hukum hudud ini, selain beranggapan hukum tersebut akan menjejaskan kehidupan seharian.

Justeru, kebimbangan itu kata Vincent membataskan usaha PAS Pusat dan DHPP untuk memberikan penerangan kepada masyarakat bukan Islam berkaitan hukum hudud apabila ahli DHPP sendiri tidak memahaminya.

Ekoran kebimbangan tersebut, Vincent menggesa PAS Pusat segera mengadakan pertemuan dengan DHPP dan ahli-ahlinya untuk diberi penerangan secara terperinci agar memudahkan usaha penerangan kepada golongan bukan Islam.

Vincent yang menyatakan sokongan terhadap hukum hudud itu juga menyatakan kesediaan DHPP untuk terus menjadi jambatan di antara PAS dengan golongan bukan Islam berhubung hukum hudud, sesuai dengan peranan yang diberikan PAS sejak tertubuhnya DHPP.(SUMBER)

0 Response to "Isu Hukum Hudud:Dewan Ulamak kena terangkan kepada DHPP. "

Post a Comment