Terkini

"Very Stupid" ,-

.Kemelut Umno di Terengganu mungkin sudah selesai, bagaimanapun kini giliran PAS pula terjebak selepas kritikan "very stupid" menantu Presiden PAS, Zaharudin Muhammad (gambar) kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menulis komen melalui laman sosial Facebook dengan menyelitkan bersama-sama artikel komen Nizar di satu portal berita.
Nizar dalam artikel tersebut menyeru pimpinan PAS berhati-hati dengan Barisan Nasional (BN) semasa krisis Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu baru-baru ini.
"Menantu Hadi (Zaharuddin) menafikan, sebab dia kata bukan tujukan kepada saya.
"Dia kata kenyataan 'very stupid' itu tidak semestinya ditujukan kepada Datuk Seri Nizar. Kalau bukan kepada saya, tidak tahu kepada siapa dia tujukan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Nizar meminta Zaharuddin supaya menjelaskan kenyataan tersebut dan bukan hanya menafikan sahaja.
"Kalau dia kata tidak tujukan kepada saya, saya pun tidak tahu nak kata ditujukan kepada siapa.
"Tanya dia, apa niat dia," soal beliau.
Nizar kemudian berkata, kenyataan Zaharuddin yang juga salah seorang Exco Pemuda PAS mencerminkan imejnya yang sebenar.
"Sekarang ini, dia mencemarkan dirinya, ahli Majlis Syura dan AJK parti sendiri. Mana boleh kita beritahu kepada rakan-rakan macam itu," kata Nizar.
Nizar juga mempertahankan haknya untuk menasihati kepimpinan PAS di Terengganu.
"Saya berhak sebagai bekas menteri besar yang pernah mengalami peristiwa sedemikian," kata Nizar lagi.
Zaharudin sebelum ini semasa pemilihan PAS tahun lepas juga mencetuskan kontroversi, didakwa memainkan peranan besar dalam gerakan untuk menyingkirkan golongan profesional yang digelar "Erdogan" dalam PAS.
 Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sekadar memberi ingatan kepada PAS Terengganu tidak terjebak dengan peristiwa yang pernah dilaluinya. – Gambar fail The Malaysia Insider, 16 Mei, 2014. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sekadar memberi ingatan kepada PAS Terengganu tidak terjebak dengan peristiwa yang pernah dilaluinya. – Gambar fail The Malaysia Insider, 16 Mei, 2014.Nama tersebut diambil sempena nama Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Menurut Nizar, nasihat tersebut bertujuan untuk mengelakkan krisis pada 2009 berulang di mana kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak tumbang susulan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lompat parti.
Baru-baru ini, episod di Perak berulang apabila tiga Adun di Terengganu dikepalai bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bertindak keluar parti dan mengumumkan menjadi wakil Bebas.
Terdapat khabar angin mengatakan akan ada usaha mewujudkan kerajaan campuran di Terengganu, tetapi perkara tersebut dinafikan oleh PAS Terengganu.
Nizar menggesa agar pemimpin negeri Terengganu supaya berhati-hati.
Bagaimanapun situasi tersebut berubah apabila ketiga-tiga Adun tersebut kembali ke pangkuan Umno.
"Sebab pengalaman masa di Perak, Umno buat macam itu dahulu, bila tersepit mereka cari kawan lain.
"Jadi pengalaman itu saya cuba sampaikan supaya tidak termakan," kata Nizar.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat juga senada dengan Nizar, menyifatkan Umno dan BN sebagai tidak boleh dipercayai.
"Kita sedia maklum sejarah panjang PAS dan Umno.
"Kekalahan pada 2004 pun BN menang dengan tidak adil," kata Satiful kepada The Malaysian Insider.
Satiful berkata PAS tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Umno atau BN, bahkan mengganggap Ahmad sebagai tidak berkredibiliti serta "flip-flop".
"Mereka tidak pernah berubah dengan sikap diskriminasi dan tidak adil.
"Umno tidak pernah menunjukkan keikhlasan sikap, jadi macam mana nak perintah bersama...Ahmad Said ini kita pun tahu dia flip flop," katanya.
Satiful juga mengungkit kembali layanan yang diberikan oleh Ahmad kepada PAS sepanjang memerintah Terengganu dan berkata mustahil untuk bekerja dengan individu berperwatakan sedemikian.
Di Terengganu, BN memiliki 17 kerusi DUN manakala PR pula 15 daripada 32 kerusi keseluruhan, sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya salah seorang daripada Adun Umno keluar parti menjadi wakil Bebas.
PAS juga mengintai peluang untuk memerintah di Terengganu, malah awal-awal lagi memberi isyarat akan mengusulkan undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) jika kemelut politik dalaman Umno tidak berakhir. – 16 Mei, 2014.

0 Response to ""Very Stupid" ,-"

Post a Comment