Terkini

PASTI Al-Mawaddah ,Seremban dimasuki penjenayah bersenjata parang.

Gambar hiasan: pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) daripada orang India turut belajar di PASTI. 
SEREMBAN – Guru dan murid-murid tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Mawaddah, Taman Warisan Puteri, Sikamat, di sini, berhadapan detik cemas apabila tadika terbabit dimasuki penjenayah bersenjatakan parang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, kesemua murid-murid dikatakan sedang menunggu kedatangan ibu-bapa untuk mengambil mereka selepas selesai sesi persekolahan.

Pengarah Pasti negeri, Syazwan Zulkafli berkata, secara tiba-tiba datang dua lelaki menaiki sebuah motosikal dengan bersenjatakan parang dan memakai topi keledar penutup penuh.
“Kedua-dua lelaki itu terus memegang salah seorang penjaga yang datang mengambil anak mereka di tadika. Salah seorang daripadanya mengacukan parang di bahagian leher mangsa.

“Guru yang melihat kejadian itu segera membawa masuk murid-murid ke dalam tadika dan terus mengunci pintu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, menyedari tindakan guru itu, suspek bertindak menendang pintu dan berjaya memasuki tadika.

“Empat guru wanita bersama beberapa murid berada dalam ketakutan apabila suspek mengugut akan mencederakan jika melawan.

“Suspek meminta wang tetapi guru memberitahu tadika tidak menyimpan wang tunai. Suspek kemudian meminta barang berharga milik guru-guru,” katanya.

Syazwan berkata, bimbang dicederakan suspek, kesemua guru menyerahkan barangan peribadi mereka termasuk beg tangan dan beg yang berisi alat bantuan mengajar.

“Selepas mendapat barang berharga, suspek terus melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan tadika.
“Syukur Alhamdulillah kerana guru-guru, murid-murid dan penjaga selamat dan tidak dicederakan suspek ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kejadian tersebut menyebabkan guru-guru dan murid-murid mengalami trauma.

“Ini merupakan kejadian kali pertama dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sikamat sejurus kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan sedang dijalankan.(SUMBER)

0 Response to " PASTI Al-Mawaddah ,Seremban dimasuki penjenayah bersenjata parang."

Post a Comment