Gara-gara mempertahankan tindakannya menegur Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka dan mengkritik hudud Kelantan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin diejek 'boo' perwakilan muktamar di Kuala Selangor hari ini.
Ini bermula apabila seorang perwakilan dari Segambut mempersoalkan peranannya sebagai pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS yang sepatutnya mempertahankan presiden membawa rang undang-undang (RUU) persendirian hudud ke Parlimen.
"Inikah tarbiah yang kita hasilkan dengan ‘boo’ macam itu?
"Saya tiada masalah, dalam Parlimen perangai Umno pun macam ni," katanya semasa memberi penjelasan dalam sesi pembentangan minit mesyuarat PAS 2014 di Kuala Selangor, hari ini.
Ahli Parlimen Sepang itu berkata, isunya adalah RUU persendirian itu tidak pernah dibawa Hadi masuk dalam perbincangan PAS Pusat.
Malah mengakui dirinya, ahli Parlimen PAS lain termasuk Ketua Whip Datuk Mahfuz Omar tidak pernah berpeluang melihat RUU itu sebelum dihantar untuk dibentangkan.
"Dan apabila saya lihat RUU itu ada beberapa kelemahan. Jadi itu persoalannya, bukan nak pinda.
"Kita pertikai cara dan apa salahnya sekiranya kita buat teguran," katanya mempertahankan tindakannya mengkritik Hadi itu membuktikan amalan demokrasi wujud dalam PAS.
Hanipa berkata, dirinya sering mempertahankan hudud Kelantan tidak bercanggah dengan Perlembagaan walaupun menyertai forum “hostile hudud” di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH).
Beliau kemudian mencabar perwakilan membuktikan jika ada kenyataannya mengenai hudud bercanggah dengan presiden.
"Kalau ada kenyataan saya bercanggah dengan presiden, buktikan. Di mana yang bercanggah itu saya tak boleh jawab.
"Saya bagi jaminan kalau RUU dibawa ke Parlimen saya akan pertahankan dan saya akan berani lawan mana-mana wakil Parlimen Umno," katanya.
Hanipa semasa muktamar di Johor tahun lalu pernah menerima nasib sama, apabila mempertikaikan PAS mahu merebut kerusi menteri besar Selangor milik PKR. – 4 Jun, 2015
-Sumber TMI.
0 Response to "Hanipa Maidin , tiada masalah kena" boo.", pertahan kebenaran."
Post a Comment