MALAYSIA AMANAH KITA

MALAYSIA AMANAH KITA
Terkini

PAS tanding 59 kerusi DUN, niat untuk bantu BN menang PRU14-SIVAKUMAR

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 11 Julai 2015 di Ipoh

PAS Mahu Lawan 59 Kerusi DUN Perak? Terbukti Niat Untuk Membantu BN Menang PRU14

Kenyataan yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Perak Tuan Haji Razman dalam laman Facebook beliau kira-kira jam 1.00 pagi pada 11 Julai 2015 adalah amat melucukan. Beliau menyatakan bahawa “Mungkin PAS Perak akan bertanding 59 kerusi dalam PRU14. Meneruskan perjuangan Nabi Saw”. Walaupun kenyataan ini tidak mempunyai asas tetapi rata-rata membuktikan niat buruk pemimpin ini untuk menghancurkan kekuatan parti pembangkang DAP dan PKR dalam PRU14.

Kenyataan yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS dianggap sebagai kenyataan yang dikeluarkan oleh parti PAS itu sendiri. Jadi, kita tidak boleh mentafsirkan ini sebagai kenyataan peribadi yang tidak ada sangkut-paut dengan parti. Kenyataan ini juga menguatkan lagi perasaan syak wasangsa rakyat Perak bahawa ada hubungan sulit di antara parti PAS dan UMNO Barisan Nasional.

Kenyataan Haji Razman seolah-olah membuka jalan dan memberi ruangan kepada parti-parti Barisan Nasional untuk bernafas semula di negeri Perak. Beliau berniat mewujudkan perang 3 penjuru di semua kerusi DUN Perak. Sudah pasti ini akan membawa keuntungan besar kepada Barisan Nasional. Parti-parti pembangkang boleh mengalami kekalahan akibat perpecahan undi hasil daripada pertandingan 3 penjuru ini. Saya pasti beliau juga sedar tentang perkara ini.

Pada pandangan saya kenyatan Pesuruhjaya PAS Perak itu adalah berniat memenangkan Barisan Nasional di Perak dalam PRU14. Saya tidak nampak semangat perjuangan yang sebenar untuk menumbangkan Barisan Nasional yang zalim di negeri Perak.

Saya sangat menghormati rakan-rakan PAS yang masih meneruskan perjuangan menentang rejim Barisan Nasional yang telah membawa banyak kecelakaan dan kesengasaraan kepada rakyat. Tetapi, saya tidak boleh menghormati mana-mana pemimpin yang telah terkeluar daripada landasan perjuangan yang sebenar. Saya juga menganggap tindakan ini sebagai satu pembelotan yang tidak akan dimaafkan oleh rakyat Perak yang ingin melihat perubahan dalam pilihanraya yang akan datang.

Rakyat Perak sedang menanti dengan penuh harapan bahawa pemimpin-pemimpin parti pembangkang akan mengambil alih kerajaan Perak untuk membebaskan mereka daripada belenggu kezaliman kerajaan Barisan Nasional. Tetapi, aspirasi dan harapan rakyat negeri Perak dihancurkan oleh pemimpin seperti Haji Razman yang tamak dan berniat jahat. Rakyat juga tidak akan mempercayai pemimpin-pemimpin seperti ini.

Saya tidak tahu samada kenyataan yang dibuat oleh beliau itu adalah setelah berunding dengan PAS Pusat. Walau bagaimanapun, saya juga terpanggil untuk menyentuh tentang keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama di dalam isu hubungan dengan DAP. Dalam mesyuarat yang diadakan pada 10 Julai 2015, Majlis Syura Ulama telah memutuskan bahawa hubungan tahaluf siasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mahu mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Kenyataan Haji Razman untuk PAS bertanding di 59 kerusi DUN Perak juga melibatkan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti PKR. Jadi, bagaimana pula PAS boleh megekalkan hubungan tahaluf siasi dengan PKR?

Saya juga ingin mengimbas kembali keputusan PRU12 dan PRU13 untuk renungan bersama. Dalam PRU12, PAS Perak bertanding 20 kerusi tetapi hanya memenangi 6 kerusi. Manakala dalam PRU13 pula PAS bertanding 22 kerusi tetapi hanya mampu memenangi 5 kerusi. Tetapi, dalam PRU14, PAS berniat bertanding 59 kerusi tanpa bantuan DAP dan PKR. PAS juga perlu sedar bahawa kekuatan mereka juga telah berkurangan akibat persengketaan dalamannya. Pada hemat saya, PAS akan menghadapi kesulitan dalam mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenanginya di bawah pucuk pimpinan yang sedia ada dan persekitaran politik yang telah berubah.

PAS akan mengalami kekalahan teruk dalam PRU14 jika terlalu tamak dan berniat untuk menghancurkan pihak pembangkang di negeri Perak. Rakyat juga lebih arif membaca niat tersirat PAS untuk bertanding 59 kerusi DUN semata-mata untuk membantu UMNO Barisan Nasional menubuhkan kerajaaan sekali lagi di Perak.

V Sivakumar


0 Response to "PAS tanding 59 kerusi DUN, niat untuk bantu BN menang PRU14-SIVAKUMAR"

Post a Comment