Terkini

Dia bukan penjenayah, Muhyiddin ketuai 14 pilihanraya kecil.

IPOH - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mahu anggota parti menghormati Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Reezal Merican menegaskan bahawa Muhyiddin meletakkan perjuangan parti mengatasi segala-galanya walaupun digugurkan dalam rombakan Kabinet baru-baru ini.

Menurutnya, apa yang penting adalah supaya ahli-ahli Umno kekal bersatu dalam menghadapi situasi yang mencabar.

"Muhyiddin masih Timbalan Presiden kita dan sebagai ahli, kita harus menghormati beliau kerana beliau meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan peribadi.

"Dia bukan penjenayah,  malah Muhyiddin telah mengetuai 14 pilihanraya kecil. Jangan kerana beliau sudah tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri,  kita buat ketetapan nak henyak beliau, jangan kita buat begitu," katanya ketika berucap selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat, hari ini.

Tambahnya lagi, perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan rombakan Kabinet merupakan kuasa eksklusif yang ada pada seorang Perdana Menteri.

"Muhyiddin pun tak lawan,  malah dalam kenyataannya menyatakan beliau akur,  taat dan tetap bersama perjuangan parti.

"Beliau bukan pengkhianat seperti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melakukan onar dalam parti kita," katanya lagi.

Katanya, situasi yang berlaku di dalam Umno ketika ini bukan perkara baharu dan beliau yakin parti itu dapat mengharungi pelbagai cabaran yang dihadapi.

"Marilah kita merapatkan barisan supaya kita tidak berpecah- belah. Kita perlu berfikiran terbuka dan tidak berfikiran sempit dan perkukuh barisan bagi menghadapi cabaran mendatang, "katanya.

0 Response to "Dia bukan penjenayah, Muhyiddin ketuai 14 pilihanraya kecil."

Post a Comment