Terkini

DUN Perak, Anak Muda Harapan Baru gesa fokus kurang beban rakyat.

KENYATAAN MEDIA
GERAKAN ANAK MUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK
17 OGOS 2015 (Isnin)

PERSIDANGAN DUN: GESA FOKUS USAHA MENGURANGKAN BEBAN RAKYAT

Gerakan Anak Muda Harapan Baru Negeri Perak mengharapkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang akan berlangsung pada 18 Ogos ini (Esok) fokus kepada usaha mengurangkan bebanan rakyat.

Ketika ini, rakyat khususnya berpendapatan kecil dan sederhana sedang bergelut untuk mengharungi kehidupan seharian disebabkan peningkatan kos sara hidup.

Himpitan kesengsaraan rakyat semakin dirasai selepas perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mengakibatkan segala perkara mengalami peningkatan harga.

Persidangan Dun kali ini perlu menjadi platform untuk wakil rakyat membincangkan usaha ke arah mengurangkan bebanan rakyat khususnya negeri ini.

Berdasarkan pemerhatian kami, ruang dan masa persidangan Dun sebelum ini khususnya pada penggal lalu banyak dihabiskan kepada perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Tidak kira sama ada kerajaan mahupun pembangkang lebih gemar untuk 'berseteru' dan berbahas berkaitan politik kepartian yang tidak berkesudahan.

Sebagai wakil rakyat khususnya di pihak kerajaan perlu lebih matang menggunakan platform persidangan Dun untuk membincangkan polisi-polisi kerajaan dan rakyat.

Kami mengharapkan, wakil-wakil rakyat dapat mengubah sikap masing-masing agar dapat mengutamakan perkara yang lebih penting iaitu kesejahteraan rakyat di dalam persidangan kali ini.

Masing-masing perlu 'bersaing' untuk memberi cadangan dan buah fikiran, dalam masa yang sama memberi teguran kepada kerajaan terhadap prestasi mereka dalam mengurus tadbir Kerajaan Negeri Perak.

Pihak pembangkang pula jangan hanya menjadi pengkritik semata-mata tetapi perlu bersama-sama memberi saranan dan cadangan kepada kerajaan agar segala polisi kerajaan memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat, Gerakan Anak Muda Harapan Baru Negeri Perak berpandangan perlu ada satu perancangan serius dengan kemampuan yang ada kepada kerajaan negeri.

Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Dr Zambry Abdul Kadir perlu melaksanakan mekanisme terbaik dan berkesan dalam membela nasib seluruh rakyat di negeri ini.

Persidangan Dun yang akan berlangsung ini adalah ruang terbaik untuk sama-sama berbincang dan bertukar-tukar pendapat ke arah kesejahteraan rakyat.

Berhenti seketika berpolemik berkaitan politik kepartian, manfaatkan ruang ini untuk rakyat yang telah memberi amanah kepada anda!

‪#‎HarapanBaru‬

USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Penyelaras Gerakan Anak Muda
Harapan Baru Negeri Perak


0 Response to "DUN Perak, Anak Muda Harapan Baru gesa fokus kurang beban rakyat."

Post a Comment