Terkini

Mana wakil PAS dalam Bersih 4?

KENYATAAN MEDIA

11 OGOS 2015

Pesta Demokrasi 34 Jam Bersih4

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyertai Pesta Demokrasi 34 Jam Bersih 4 di Kuala Lumpur bermula jam 2 petang 29 Ogos 2015 sehingga jam 11.59 malam 30 Ogos 2015.

Jawatankuasa Pengelola Bersih 4 telah memutuskan untuk berkhemah semalaman di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bagi mendesak penambahbaikan institusi demi 5 tuntutan Bersih 4 iaitu, Bersihkan Pilihanraya, Kerajaan Bersih, Hak Membantah, Kukuhkan Demokrasi Parlimen dan Selamatkan Ekonomi Malaysia.

BERSIH 2.0 menjemput rakyat Malaysia untuk turut serta dalam perhimpunan yang pertama kali seumpamanya diadakan dalam sejarah. Para peserta dinasihatkan untuk membawa alas kanvas, beg tidur, khemah mudah alih, serta keperluan untuk bermalam dan menjalani hujung minggu di tengah ibu kota.

BERSIH 2.0 telah memaklumkan pihak Polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tentang perhimpunan Bersih 4 dan menyatakan kesediaan berbincang dengan pihak Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya keselamatan rakyat Malaysia terjamin dan lalulintas di ibu kota terkawal sepanjang berlangsungnya perhimpunan aman ini nanti.

Orang ramai dicadang berkumpul di lima tempat sebelum bergerak menuju Dataran Merdeka: 1. Brickfields 2. Pasar Seni 3. Sogo 4. Masjid Negara 5. Dataran Maybank.

Kami telah menyusun pelbagai acara, termasuklah bengkel-bengkel pendidikan sivil, perbincangan awam, persembahan seni budaya serta aktiviti kerohanian selain pidato-pidato oleh pemimpin masyarakat untuk para peserta himpunan.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa pada tarikh 14 Ogos kami akan memulakan proses undian atas talian untuk pertandingan poster ‘Jom Bersih4Malaysia’ yang telah dimulakan sejak hujung minggu lalu, bagi mengajak anak muda yang berbakat untuk memperlihatkan sokongan mereka melalui hasil karya masing-masing.

BERSIH 2.0 juga amat menghargai kempen-kempen yang telah dimulakan oleh rakyat Malaysia atas inisiatif sendiri, termasuk poster-poster, kempen nyalakan lampu, dan kempen ‘YellowRising Malaysia’ yang menganjurkan supaya rakyat Malaysia mula berpakaian kuning, atau mengikat kain kuning di pagar, pokok, beg dan sebagainya demi menyokong Bersih4.

Bagi merancakkan lagi kempen ini, kami turut mengajak orang ramai untuk mengikuti ‘Bersih4 Challenge’, dengan mengambil gambar masing-masing secara selfie atau apa sahaja dan menyatakan kesediaan menyertai perhimpunan Bersih 4, dan kemudian mencabar rakan-rakan mereka juga untuk melakukan perkara serupa.

BERSIH 2.0 berharap perancangan untuk meraikan demokrasi dalam kerangka mendesak penambahbaikan institusi demi sebuah negara yang lebih bersih dan adil dari segi ekonomi, sosial dan politik akan berjalan lancar, selari dengan peruntukan undang-undang.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).

2 Responses to "Mana wakil PAS dalam Bersih 4?"

  1. Ahli Jawatankuasa Bersih 4.0 terdiri dari individu-ind8vidu dari civil society sahaja. Pemimpin politik tidak dibenarkan menjadi AJK Bersih 4.0

    ReplyDelete
  2. pencacai melayu jer terhegeh berdemo,dap duk rumah main mahjong tunggu pilihanraya menang besar...phuiii.

    ReplyDelete