Terkini

Riduan Mohamad Nor, kenapa tak tegur, pemuda kencing ketika Mat Sabu berucap!

RIDUAN MOHAMAD NOR, kenapa semasa pemuda keluar kencing sewaktu Mat Sabu berucap tak tegur, kenapa Mokhtar Senik Demo depan pejabat  PAS tak tegur, kenapa Mat Sabu dituduh syiah tak tegur.Lagi kenapa label melabel tak tegur, kenapa ketua ulamak negeri buat "cai " tak tegur. Kenapa tak tegur doa laknat.Kenapa sekarang baru buat surat untuk  Mat Sabu.?

SURAT TERBUKA BUAT ABANG MAT SABU.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Pagi ini saat bergegas di kaunter pesawat tambang murah bandara kuala Terengganu, saya berpapasan dengan ikon anak muda dekad 80an yang juga abang saya dalam perjuangan, iaitu haji Mohamad Sabu. Tak terkesan dengan gelombang yang menimpa parti Islam pasca muktamar, Abang Mat tetap dengan senyuman khasnya kepada saya, bercanda dan kami bersarapan bersama di cafe bandara. Abang Mat bersama Hanipa Maidin dan tim GHB semalamnya berceramah di Dataran Syahbandar Kuala Terengganu, manakala saya, Dato Tuan Ibrahim, Dato Nik Amar berceramah di Dataran PGU Jerteh Besut.

Abang Mat meneguk minuman dan menelan beberapa biji pil ubat,bercerita tentang umur dan tahap kesihatan. Beliau masih bebas daripada penyakit yang biasanya dihinggapi insan seangkatan dengannya. Generasi pejuang dekad 80an yang pernah mendekam dalam tahanan ISA seangkatan beliau telah ramai pulang kerahmatullah. Ustaz Abu Bakar Chik, Istaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Stimat Jusuh, Zainuddin Abdullah , Shuhaimi Said dan teman-teman angkatan pemuda dekad 80an telah pulang menemui Tuhan. Abang Mat masih sihat dan sentiasa dengan guratan wajah ceria.

"Enta...takdak penyakit lagi ke ?" Tanyanya jujur dengan tatapan mata berseri
"Belum lagi abang Mat...hihi" jawabku separuh jujur dan tak pasti. Bila disemak status kesihatan ,kelihatan masih sihat tetapi jika kurang tidur akan merasa pening.
"Enta makanlah...sebelum ada apa-apa penyakit mai " katanya berlucu.

Saya tidak sempat menghabiskan sepinggan nasi berlauk ayam dan kopi panas apabila pembesar suara bandara memanggil nama saya untuk menaiki pesawat dengan segera. Menyalami Abang Mat dan teman-teman yang lain saya berlari ke ruang perlepasan. Dalam pesawat, benak akal saya menerawang jauh , mengimbau kisah hidup seorang tokoh yang pernah mencuat namanya dalam pentas anak muda radikal negara ini dekad 80an dan 90an.

Abang Mat alumni ITM, memulakan langkah bersama gerakan pelajar, seterusnya bersama gerakan sosio politik anak muda, ABIM. Awal dekad 80an, beliau aktif berceramah dan vokal menentang regim Mahathir sehingga membayar harga yang mahal iaitu dihumban ke jeriji tahanan politik ISA. Antara rakannya Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abdul Mohamad ditahan tanpa bicara. Beliau berceramah saat manusia ramai masih paranoid dengan PAS dengan tema kembali kepada pemerintahan Islam, menjulang kepimpinan ulama serta mendobrak regim tirani BN.
BN dan UMNO mengganasi aktivis -aktivis PAS tanpa sepicing rasa malu dalam dekad 80an. Berlakunya pembunuhan di Lubuk Merbau Kedah, peristiwa Memali, operasi lalang, operasi kenari dan pelbagai tekanan terhadap amilin PAS. Abang Mat tabah mengharungi euforia "negara polis" tajaan regim BN. Parti melihat potensi yang ada pada abang Mat dan beliau diberikan bertanding di Parlimen Nilam Puri Kelantan pada tahun 1990.

Beliau menang di Parlimen tersebut dan namanya tercatat di papan carta utama pemain politik negara ini. Suaranya dirindui rakyat di podium ceramah, bidasannya vokal di Parlimen, disenangi oleh anak-anak muda termasuk saya yang mencandui ceramahnya semenjak bangku sekolah menengah dan universiti. Abang Mat sentiasa mendengungkan kewajiban memenangkan Islam, memuliakan ulama dan terus istiqomahkan diri bersama PAS diposisi mana pun kita berada.

Saya berada dalam Dewan pemuda dalam tempoh dua dekad dan Abang Mat begitu dekat dengan anak muda, mudah berkira dan senang diurus. Tanpa jawatan diruang legislatif sekali pun, beliau masih aktif bertemu rakyat dan berceramah ke seluruh belahan negara. Watak dan sisi putih yang paling saya sukai daripada Abang Mat ialah beliau tahan bergurau dan tidak kisah dengan ugutan.
" hangpa maki la aku,,,rambut bercacak macam aku ni,,,tahan kena maki" dia menyeringai berlucu. Sikap itu menyebabkan beliau mempunyai ramai teman dan anak buah.

Saya mengimbau kembali fasa dua tahun terakhir ini, saya mengambil sisi kritis terhadap abang Mat. Berhujjah dalam banyak isu yang saya tidak senangi dalam mesyuarat seperti isu Jokowi, Langkah Kajang dan lain-lain lagi. Beliau tetap Mohamad Sabu yang saya kenali dengan rapat belasan tahun yang lalu. Beliau datang makan berselahan saya usai mesyuarat PAS Pusat sambil tetap ceria bergelak tawa. Jiwanya besar sesuai dengan segudang pengalamannya bersama PAS, bersepuh semangat khursani membadai perjuangan.

Dalam ruang terbatas ini , saya menyeru Abang Mat supaya kembali bersama PAS sebagaimana Abang Mat bergulat dalam tempoh panjang 37 tahun berjuang , semenjak zaman mudanya. PAS mempunyai berkahnya tersendiri, berdiri teguh 64 tahun menggeluti medan siasah, dakwah dan tarbiah. Harakatul ummah ini mempunyai ahli-ahli yang ikhlas, yang curang akan menggelunsur jauh.

Abang Mad mesti faham denai sejarah PAS, bagaimana firqah atau kumpulan serpihan PAS semenjak dekad 70an hilang ditelan masa. Kelompok anak muda yang menentang PAS bersama kerajaan campuran awal 70an, Parti BERJASA, HAMIM, ISLAH,AKIN bahkan JATI , semuanya menjadi prasasti sejarah. PAS terus membesar dan merengkuh sokongan ummah, malah terus mara dengan dokongan anak muda berpendidikan.

Kembalilah Abang Mat, ahli-ahli PAS tidak membencimu, hanya tidak terpilih di medan muktamar dan pusingan roda kepimpinan adalah suatu sunnatullah. Kita tidak menjadi hina tanpa jawatan besar, kerana perjuangan Islam memuliakan sesiapa pun yang mendokong. Saya teringatkan sesepuh PAS yang pernah kalah dalam muktamar namun mereka tetap beristiqomah bermandi keringat di medan amal Islami. Almarhum Ustaz Hasan Shukri, Almarhum Ustaz Harun Taib, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik adalah contoh keteladanan yang kita semua banggai. Kembalilah Abang Mat, kita boleh berbeda pandangan, namun tidak untuk memecahkan kesatuan ummat. Hiasilah sejarah ini dengan tinta emas kerna harumannya akan dihidu generasi mendatang!


1 Response to "Riduan Mohamad Nor, kenapa tak tegur, pemuda kencing ketika Mat Sabu berucap!"

  1. Dah PAS kata dia macam-macam termasuk anjing DAP, hantar surat pulak memujuk. Selepas muktamar di Johor, Abang Mat pernah berkata " Saya bukan plastik". Tabahlah Abang Mat, ujian di dunia ini hanya sementara, akhiratlah jua tujuan kita. Tinggalkan PAS selagi mereka masih di jalan munafikun.

    ReplyDelete