Terkini

MCA tidak terima PAS, melainkan tinggalkan hudud.

MCA, parti komponen kanan Barisan Nasional (BN), tidak akan campur tangan dalam urusan Umno dengan PAS, tetapi menetapkan batasan, jalinan silaturahim antara 2 pihak itu tidak seharusnya hingga menyebabkan parti Islam itu menyertai gabungan parti pemerintah.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan portal berita Malaysiakini berkata, parti etnik Cina itu "tidak akan menyoal dan campur tangan dalam hal peribadi Umno".

"Tetapi jika mereka (Umno) mahu membawa PAS ke dalam BN, ia perlu dibincangkan dalam majlis (tertinggi) BN.


"Kami pasti akan menentangnya. Kami akan menyuarakan pemikiran dan idea kita. (Kami tidak akan menerima PAS) melainkan jika ia meninggalkan hudud," Liow dipetik berkata kepada pemberita di Subang hari ini.

Liow ditanya mengenai pelawaan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak kepada PAS, pada perhimpunan agung parti itu baru-baru ini, untuk bersama membina sebuah negara Malaysia yang sempurna mengikut syariat Islam.

Najib membuat pelawaan itu pada perhimpunan agung Umno, baru-baru ini.

Parti komponen lain dalam BN memberi respons diplomatik terhadap langkah itu, dan Pemuda MIC berkata PAS perlu patuh kepada syarat gabungan pemerintah jika mahu bekerjasama dengan Umno

Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh Chandran berkata PAS perlu mengambil pendekatan sederhana terhadap perkara berkaitan agama.

Sementara itu Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng berkata cadangan hubungan kerja antara Umno dan PAS tidak akan menjejaskan polisi BN, dan juga perlu ada sempadan terhadap hudud iaitu kanun jenayah Islam.

Umno dan PAS, sering bersaing merebut undi Melayu-Islam, sudah lama mengadakan rundingan mengenai kerjasama politik. PAS pada masa ini bukan lagi sebahagian gabungan pembangkang Pakatan Rakyat, selepas putus dengan sekutunya, DAP.

Kebanyakan pemimpin PAS berkata parti itu tidak akan menyertai BN, tetapi kenyataan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampak lebih terbuka mengenai perkara itu.

Hadi berkata, PAS terbuka untuk bekerja dengan pihak yang mahu membantu Islam dan orang Melayu. – 15 Disember, 2015. Sumber mk.

0 Response to "MCA tidak terima PAS, melainkan tinggalkan hudud."

Post a Comment