MALAYSIA AMANAH KITA

MALAYSIA AMANAH KITA
Terkini

RUU355 di kaki Najib.

AMARAN! BACA DAN HADAM, TAK SETUJU JANGAN SERANG  RAFIZI

(Paparan artikel ini dengan besertakan Peraturan Mesyuarat boleh didapati di http://rafiziramli.com/2016/10/rang-undang-undang-355-dato-seri-najib-tun-razak-mesti-isytihar-pendirian-pentadbiran-beliau/)

Parlimen datang lagi. Maka akan riuh mengenai Najib Razak dan segala jenis panasnya. Namun ada segelintir yang sering mencemuh saya kerana kononnya bising mengenai segala macam perkara yang saya dedahkan, tetapi diam seribu bahasa mengenai #RUU355. Ada sebabnya. Sebabnya kerana usul #RUU355 adalah untuk merujuk kepada Najib Razak, akhirnya bola itu dikaki #pang5islam itu juga. Saya diam sebab saya mahu dengar dari Dato' Seri Najib dahulu. 

Saya mohon sebarkan seluas-luasnya penulisan saya ini kerana ia boleh membantu meredakan kekeliruan, terutamanya dikalangan orang bukan Islam terhadap orang Islam.

14 OKTOBER 2016

RANG UNDANG-UNDANG 355: DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK MESTI ISYTIHAR PENDIRIAN PENTADBIRAN BELIAU

Persidangan Dewan Rakyat yang bermula minggu depan akan dibayangi oleh satu usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS yang kini sering dirujuk sebagai RUU355. 

Pelbagai pihak mempunyai pandangan yang berbeza mengenai usul ini. Ia membawa kesan yang besar kepada negara dan rakyat sebelum ini apabila perbezaan pendapat yang (salah satunya) berpunca dari beberapa keputusan yang akhirnya dizahirkan menjadi usul RU355 ini, telah berjaya memecahkan Pakatan Rakyat. 

Usul RUU355 ini tidak kurang panasnya kali ini. 

Saya pasti pintu depan bangunan Dewan Rakyat akan dipenuhi dengan wartawan yang menunggu untuk menyerbu setiap seorang Ahli Parlimen untuk menanyakan sama ada mereka akan menyokong atau membangkang apabila diadakan pengundian.

Sebenarnya ramai yang salah sangka mengenai usul ini dan kesan pengundiannya jika ia dibenarkan dibentangkan di Parlimen kali ini. Salah sangka ini berpunca dari tiadanya pengetahuan mengenai Peraturan Mesyuarat yang menjadi undang-undang perbahasan dan tatacara Dewan Rakyat. Jika ramai Ahli Parlimen pun kurang mahir mengenai perkara ini (lalu tidak dapat memahami kesan pembentangan usul oleh Ahli Parlimen Marang dan pengundiannya kelak), apatah lagi rakyat kebiasaan.

Begitu banyak peperangan Facebook berlaku dengan kata-kata yang kesat semata-mata kurangnya kefahaman mengenai Peraturan Mesyuarat ini. Begitu banyak yang prasangka terhadap orang Islam atau sesama Islam kerana tidak merujuk dahulu kepada Peraturan Mesyuarat.
Lalu apabila saya mengangkat tangan dalam satu mesyuarat minggu lalu dan merujuk perkara ini, ada yang melopong. Ada yang tepuk meja. Ada yang suruh saya diam dan duduk jauh-jauh kerana bimbang jika saya bercakap, ia boleh mengelirukan rakyat.

Sebenarnya seluruh negara terkeliru, sebab itu saya mahu menulis hari ini iaitu 2 hari sebelum sidang bermula.

Usul yang bakal dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang (jika ia dibenarkan) adalah untuk mendapat persetujuan Dewan Rakyat agar satu Rang Undang-undang (mengenai menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah) yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Marang tadi dirujuk kepada menteri yang berkenaan untuk dipertimbangkan.

Perhatikan saya “bold” dan saya “gariskan” dua perkataan – “dirujuk” dan “dipertimbangkan”.

Untuk usul itu dibentangkan, ia mesti mendapat kebenaran dari kerajaan. Maknanya ia mesti mendapat kebenaran dari Dato’ Seri Najib Tun Razak selaku ketua kerajaan. Kebenaran ini selalunya dizahirkan dalam bentuk keizinan yang diberikan menteri yang bertanggungjawab hal ehwal parlimen (sekarang ini ia dipegang Datuk Azalina Said Othman).

Jika Dato’ Seri Najib Tun Razak membenarkan, maka usul boleh dibentangkan dan dibahaskan.

Katakanlah usul diberi kebenaran oleh Perdana Menteri dan ia dibahaskan. Setelah dibahaskan maka berlaku pengundian. 

Ramai yang menjangkakan akan tonggang terbaliklah Dewan Rakyat jika ia sampai ke peringkat pengundian, kerana jika ia diluluskan maka terlaksanalah hudud di Malaysia. Yang tidak setuju berpandangan ini satu bahaya yang kita mesti hentikan. Yang bersetuju menegaskan kalau tidak setuju maka orang itu menolak Islam.

Hakikatnya jauh panggang dari api, jauh undang-undang dari 1MDB (pepatah kedua saya tambah sendiri).

Sekiranya selepas dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, usul RUU355 itu diundi dan diluluskan – jauh lagi perjalanannya sebelum hukum hudud hatta menaiktaraf mahkamah syariah berlaku.

Sebabnya ialah pengundian yang dibuat selepas pembentangan dan perbahasan usul Ahli Parlimen Marang itu hanyalah bertujuan untuk mendapat persetujuan Dewan Rakyat untuk merujuk rang undang-undang itu kepada menteri yang bertanggungjawab untuk dipertimbangkan.

Selagi menteri yang bertanggungjawab tidak kembali untuk membentangkan rang undang-undang itu sebagai rang undang-undang kerajaan dan dibahaskan kembali, maka undi yang dibuat susulan dari usul Ahli Parlimen Marang itu tidak lebih dari menyatakan sokongan moral tanpa ada kesan undang-undang. 

Saya percaya ramai yang sudah mula memaki hamun saya bila sampai ke sini. Ini bukan rekacipta saya. Ini adalah Peraturan Mesyuarat yang mengawal tatacara apabila ada ahli yang bukan dari kerajaan berhajat untuk mencadangkan undang-undang yang boleh dipertimbangkan kerajaan.

Tatacara ini terkandung di dalam Peraturan Mesyuarat 49 yang dihuraikan secara mendalam di setiap langkah seperti berikut:

49. (1) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat dalam Perkara 67 dalam Perlembagaan siapa-siapa ahli yang bukan ahli Kerajaan yang hendak membawa Rang Undang-undang boleh meminta izin Majlis hendak berbuat demikian, dan ia hendaklah juga menyertakan bersama satu naskhah Rang Undang-undang berserta dengan huraian mengenai tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya, tetapi tidak boleh mengandungi apa-apa hujah pada masa membawa Rang Undang-undang itu.

49. (2) Tiap-tiap permohonan demikian itu hendaklah dengan cara yang dikeluarkan usul, dan ahli yang mengeluarkan permohonan itu hendaklah juga menyampaikan kepada Setiausaha suatu salinan usulnya mengandungi nama Rang Undang-undang yang dicadangkan itu. Setiausaha hendaklah enggan menerima apa-apa permohonan yang tidak menepati kehendak Peraturan-peraturan Mesyuarat ini atau mana-mana undang-undang Persekutuan.

49. (3) Apabila diperkenankan permohonan itu setelah dikemukakan kepada mesyuarat dan disetujukan usul itu, maka Rang Undang-undang itu akan disifatkan telah dibacakan kali yang pertama dan diperintahkan dicap; dan satu salinan Rang Undang-undang itu hendaklah disampaikan kepada Setiausaha.

Proses yang dibuat oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang setakat ini ialah menurut Peraturan Mesyuarat 49(1) dan 49(2) iaitu menghantar rang undang-undang melalui usul dengan dikepilkan salinan rang undang-undang itu.

Jika usul itu dibenarkan dibacakan, dibahaskan dan diundi, prosesnya sampai ke peringkat Peraturan 49(3) iaitu dikira dibacakan kali pertama.

Peraturan Mesyuarat yang paling penting dalam mempertimbangkan kesan pengundian usul yang dibawa Ahli Parlimen Marang ini ialah Peraturan 49(4) dan 49(5) iaitu:

49. (4) Dengan tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 51, Rang Undang-undang itu hendaklah dicap dan dihantar kepada ahli-ahli dan dengan tidak dibahaskan, terserahlah Rang Undang-undang ini kepada Menteri yang berkenaan dengan perkara-perkara atau tugas-tugas yang terkandung dalam Rang Undang-undang itu atau, jika tiada Menteri yang berkenaan, maka terserahlah Rang Undang-undang itu kepada Menteri atau ahli yang dilantik oleh Tuan Yang di-Pertua, tidak boleh dijalankan apa-apa langkah atas Rang Undang-undang ini sehingga Majlis menerima penyata daripada Menteri atau ahli itu.

49. (5) Setelah diterima penyata yang disebutkan dalam perenggan yang lalu itu, maka Rang Undang-undang itu akan ditetapkan bagi dibacakan kali yang kedua pada hari yang dikehendaki oleh ahli yang menjaga Rang Undang-undang itu.

Jika pun usul itu dibenarkan untuk dibacakan, dibahaskan dan pengundian di Dewan Rakyat menyokongnya, undi itu setakat meluluskan rang undang-undang itu dirujuk kepada menteri yang berkenaan (dalam perkara ini Dato’ Seri Jamil Khir kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah dibawah portfolio beliau). 

Peraturan Mesyuarat 49(4) dengan jelas menyatakan bahawa tidak boleh dijalankan apa-apa langkah ke atas rang undang-undang itu selagi Menteri berkenaan tidak kembali kepada Dewan Rakyat dengan satu penyata yang bakal dibentangkan sebagai rang undang-undang.

Peraturan Mesyuarat 49(5) juga jelas menyatakan bahawa hanya setelah menerima draf rang undang-undang dari menteri, barulah boleh ditetapkan untuk dibacakan dan dibahaskan bagi kali kedua. Hanya selepas pengundian di peringkat kali kedua sesuatu undang-undang itu diangkat menjadi akta dan boleh melalui proses seterusnya di Dewan Negara dan mendapat perkenan Yang diPertuan Agong.

Oleh yang demikian, rakyat keseluruhannya perlu faham bahawa sekiranya pun pengundian berlaku susulan pembentangan usul Ahli Parlimen Marang itu, ia kembali kepada keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana cadangan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang itu hanya ada peluang untuk dilaksanakan sekiranya Dato’ Seri Najib Tun Razak mengarahkan Dato’ Seri Jamil Khir membentangkan satu rang undang-undang memperkasakan Mahkamah Syariah untuk dibahaskan pada peringkat bacaan kedua.

Ramai yang tidak sedar bahawa walaupun ahli parlimen bukan kerajaan boleh sahaja mengusulkan apa-apa cadangan rang undang-undang, untuk ia dibahas dan diundi sebelum dilaksanakan, ia mestilah diterima dan dibentangkan kembali sebagai rang undang-undang kerajaan. Hanya rang undang-undang yang dibawa oleh kerajaan yang akan dan boleh dilaksanakan.

Sebab itu saya menasihati seluruh rakyat yang baik-baik belaka supaya jangan kita bercakaran sedangkan satu-satunya batang tubuh yang mempunyai kunci untuk menentukan sama ada pembentangan usul oleh Ahli Parlimen Marang itu berhasil atau tidak (iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak) diam seribu bahasa.

Malah saya berani meneka beliau terhibur dengan segala hiruk pikuk mengenai perkara ini. Ia menyebabkan parti-parti pembangkang bertegang leher. Ia menyebabkan orang bukan Islam runsing dan memberi tekanan kepada ahli parlimen bukan Islam. Sedangkan seperti mana Dato’ Seri Najib Tun Razak memegang kunci kepada misteri wang 1MDB, begitu jugalah beliau memegang kunci kepada persoalan “apa maknanya jika usul Ahli Parlimen Marang diluluskan minggu depan?”

Tidak seperti ramai orang lain yang gundah gulana dan bertegang urat, saya agak tenang dalam hal ini kerana saya tahu kesan mengundinya tidak lebih dari menyepak kembali bola ini ke kaki Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Yang lebih utama ialah menumpukan segala tekanan, hujahan, desakan dan pertanyaan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai pendirian beliau sendiri dalam hal ini, iaitu:

1. Adakah Dato’ Seri Najib akan membenarkan usul Ahli Parlimen Marang ini didahulukan berbanding usul-usul kerajaan lain lalu dibahas dan diundi dalam sidang ini?

2. Jika Dato’ Seri Najib membenarkan (1), adakah beliau akan mengarahkan Dato’ Seri Jamil Khir menggubal satu akta kerajaan (yang mengambil kira cadangan Ahli Parlimen Marang itu) untuk dibentangkan kembali ke Dewan Rakyat dan diundi dan dikuatkuasakan?

Selagi Dato’ Seri Najib diam seribu bahasa seperti mana beliau diam dalam hal 1MDB, maka kita juga tidak usahlah bergaduh, bertegang leher dalam hal pembentangan usul Ahli Parlimen Marang itu.

Jika semua ini difahami, mudahlah semua pihak membuat keputusan kerana ia akan menjurus kepada satu perkara sahaja – mendesak Dato’ Seri Najib mengisytiharkan pendirian beliau sendiri.

Saya akan terus desak perkara ini sehinggalah ada jawapan dari Umno/Barisan Nasional.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG 
AHLI PARLIMEN PANDAN

1 Response to "RUU355 di kaki Najib."

  1. Dlm 1 kawasan kejiranan, Ahmad mempunyai anak yg ramai. Berjiran dgn ah lim juga punya anak yg ramai.

    Anak2 Ahmad ada yg baik, ada yg sgt teruk. Anak2 ah lim pula ramai menjadi peniaga.

    Mereka sambut hari raya bersama, tahun baru cina bersama. Tiada masalah.

    1 hari Ahmad berfikir utk menyekat masalah social anak2nya.
    Ahmad membuat undang2. Anak2nya mesti pulang ke rumah sebelum jam 9mlm.

    Tiba2 ah lim marah2 dan melakukan bantahan. Sedangkan undang2 itu hanya utk anak2 Ahmad. Xde kene mengena dgn anak2 ah lim. Puaslah Ahmad terang kan pd si ah lim td. Ini utk anak2 saya. Bukan anak2 kamu.
    Namun, Ah lim terus membantah.

    Rupanya, tempat anak2 ahmad melepak adalah di rumah urut, disco, pusat perjudian milik anak2 ah lim. Kalau anak2 ahmad kene pulang awal, rosak lah bisnes anak2 ah lim.

    Maka, logical berfikir, terangkan dan jelaskanlah berjuta kali sekalipun kenapa dan sebab apa undang2 anak2 ahmad perlu pulang awal. Tetap x kan diterima!!

    ReplyDelete