MALAYSIA AMANAH KITA

MALAYSIA AMANAH KITA
Terkini

Pakatan Harapan Perak kemuka 33 bantahan Sempadan Pilihanraya.

Kenyataan media Pakatan Harapan Negeri Perak : 

Pakatan Harapan Negeri Perak hari ini kemuka 33 bantahan terhadap cadangan persempadanan semula SPR yang mencabul hak rakyat serta melanggar perlembagaan persekutuan.

1. Pakatan Harapan Negeri Perak hari ini mengemukakan sebanyak 33 bantahan terhadap persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dicadangkan oleh SPR dengan 20 bantahan dari DAP, 7 bantahan dari KEADILAN dan 6 bantahan dari AMANAH. 

2. Cadangan Persempadanan semula kali ini yang bertarikh 14hb September 2016 disifatkan berat sebelah, bersifat perkauman, melanggar prinsip "one Man, one vote" serta bercanggah dengan jadual 13 perlembagaan persekutuan dan oleh demikian adalah wajib dibantah. 

3. Cadangan Persempadanan semula kawasan pilihanraya kali ini melibatkan lebih 122,000 orang pengundi yang samada ditukar kawasan mengundi ke kawasan parlimen yang lain mahupun daerah mengundi ke kawasan DUN yang lain. Jumlah yang besar ini semestinya akan mampu menentukan keputusan pilihanraya PRU-14 jika ia tidak dipantau. 

4. Cadangan persempadanan semula ini adalah bercanggah dengan perlembagaan persekutuan atas sebab-sebab ketara antaranya seperti berikut : -

a) Terdapat lebih 16 kawasan DUN mempunyai jumlah pengundi melebihi kawasan Parlimen dalam negeri Perak. Contoh DUN Manjoi mempunyai bilangan pengundi seramai 50,812 orang sebaliknya Parlimen Padang Rengas hanya mempunyai 27,790 orang pengundi. Kerusi DUN mempunyai lebih ramai pengundi dari PARLIMEN adalah tidak logik dan keadaan ini wajib diperbetulkan. 

b) Di antara 59 kerusi DUN Negeri Perak wujud perbezaan bilangan pengundi lebih dari 4 kali ganda walaupun jadual 13 Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua persempadanan semula perlu mempunyai jumlah bilangan pengundi yang lebih kurang sama( " To be approximately equal"). Contohnya kerusi DUN Manjoi mempunyai 50,812 orang pengundi sebaliknya DUN Kota Tampan dan DUN Trong hanya mempunyai 11,990 orang dan 12,987 orang pengundi masing-masing. 

c) Cadangan persempadanan semula oleh SPR kali ini di Perak adalah tanpa peta lokasi yang jelas ( Land mass) dan ini adalah dianggap salah disisi undang-undang. 

d) Cadangan persempadanan semula ini wujud keadaan dimana satu kerusi parlimen tetapi dibawah pentadbiran oleh 2 pihak berkuasa tempatan. 

Contohnya Parlimen Ipoh Timur. Kerusi parlimen ini sebahagian ditadbir oleh Majlis Bandaraya Ipoh dan sebahagian lagi dibawah pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah. 

e) Wujud perbezaan bilangan pengundi DUN yang amat ketara walaupun ia terletak dibawah kerusi parlimen yang sama. 

Contohnya di Parlimen Ipoh Barat, DUN Bercham mempunyai 33,908 orang pengundi tetapi DUN Kepayang hanya mempunyai 21,458 orang sahaja, satu perbezaan seramai 12,450 orang adalah amat tidak logik & melanggar perlembagaan persekutuan. 

5. Pakatan Harapan memandang serius "gerrymandering" yang berlaku di depan mata rakyat dan menganggap kelakuan ini adalah satu penipuan dan pencabulan hak rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang sah. SPR sepatutnya menggunakan peluang ini untuk mengurangkan jurang perbezaan bilangan pengundi di kerusi DUN terbesar dan kerusi DUN paling kecil tetapi malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. 

6. Pakatan Harapan merizabkan hak untuk membawa tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang bertanggungjawab supaya sistem demokrasi berparlimen negara kita dapat dijaga dan tidak dimusnahkan oleh anasir anti demokrasi yang begitu ghairah membantu UMNO-BN mengekalkan kuasa. 

7. Pakatan Harapan Perak mencabar UMNO jangan berlakon di depan rakyat lagi jika UMNO-BN benar-benar membantah persempadanan ini yang jelas tidak adil. Setakat hari ini UMNO hanya mengemukakan 1 bantahan dari Pasir Salak sahaja. MCA, MIC dan GERAKAN turut digesa jangan terus berlakon kerana rakyat kian memahami usaha licik mereka yang cuba mencabul hak demokrasi seluruh 1.407 juta orang pengundi di negeri Perak. Kita Lawan! 

Sekian, terima kasih. 

Tarikh : 14hb Oktober, 2016

YB Senator Dr Muhammad Manuty
Pengerusi Keadilan Negeri

YB Tuan Nga Kor Ming
Pengerusi DAP Negeri

Yang Berbahagia Tn Hj Asmuni bin Alwi
Pengerusi AMANAH Negeri

0 Response to "Pakatan Harapan Perak kemuka 33 bantahan Sempadan Pilihanraya."

Post a Comment