Terkini

Tahniah PAS boleh keluar duit RM30 juta untuk PRU14.

TAHNIAH PAS TANDING KERUSI PALING BANYAK DENGAN ANGGARAN KOS RM18.40 JUTA HINGGA RM34.40 JUTA

1. Saya terpanggil untuk mengucapkan tahniah kepada PAS di atas kenyataan terbaru Presiden PAS, YB Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang di Perak kelmarin di mana beliau mengumumkan bahawa PAS akan bertanding 160 kerusi di dalam Pilihanraya Umum Ke 14 kelak. 

Sesungguhnya dengan pengumuman ini PAS bakal julung-julung kali mencatat rekod penting dalam arena politik tanahair dengan menjadi parti yang bertanding paling banyak kerusi di dalam sejarah pilihanraya umum di Malaysia! 

Setakat yang kita ketahui, tidak pernah mana-mana parti politik bertanding melebih 150 kerusi d dalam mana-mana pilihanraya umum. 

Bahkan UMNO selaku parti terbesar di Malaysia dari segi keahlian dan cawangan serta menjadi parti tunggal yang paling ramai ahlinya menjadi Ahli Dewan Rakyat, hanya bertanding sekitar 121 kerusi sahaja di dalam pilihanraya umum yang lalu.

2. Saya tak pasti samada ini adalah muktamad kerana PAS, terutamanya Presiden PAS sendiri acapkali bertukar-tukar sikap dan sentiasa mengubah sasaran dan jangkaan terutama dari aspek kerusi yang hendak ditandingi. 

Tidak lama dulu PAS nyatakan hendak kekal bertanding semua kerusi PAS sebelum ini iaitu sekitar 80 kerusi. Kemudian jadi 100, 120 dan 130 kerusi. Kemudian beberapa hari lepas Setiausaha Agung PAS mengatakan PAS akan bertanding 150 kerusi. 

Dan beberapa hari yang lepas Presiden PAS tiba-tiba mengisytiharkan akan bertanding 160 kerusi. Bila sentiasa mengubah-ubah jumlah kerusi yang nak ditandingi ini menunjukkan betapa berceramuknya percaturan PAS. 

Mungkin juga untuk bermain silap mata bagi menutup hasrat sebenar yang sekian lama diwar-warkan iaitu untuk menjadi ‘kingmaker’ atau kuasa penentu. 

Pimpinan PAS kelihatan tak mampu menjawab persoalan ahli-ahli biasa PAS yang mempersoalkan apabila PAS bertekad hendak menjadi kingmaker yang boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja khususnya dengan Umno Bn untuk membentuk kerajaan, adakah ianya bermakna PAS sememangnya sanggup untuk menyokong Dato Seri Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia dan secara tidak langsung meletakkan Datin Seri Rosmah Mansor kekal sebagai ‘First Lady of Malaysia’?

Dan ada juga bertanya apakah dengan menjadi kingkmaker bermakna PAS boleh juga membentuk kerajaan bersama DAP yang selama ini PAS dakwa kuat menentang Islam atau parti Amanah yang dianggap pengkhianat? Tidakkah ini politik oportunis?

3. Jadi, dalam keadaan ini tidaklah menghairankan apabila jumlah kerusi sentiasa diubah-ubah walaupun sampai ke tahap yang tak munasabah walaupun sudah layak untuk dimasukkan ke “Malaysian Book of Records”. 

Ahli-ahli PAS di kampung dan ceruk desa mungkin ramai yang sedang bersorak gembira kerana digambarkan sekarang PAS bakal bertanding begitu banyak kerusi, sesuatu yang tak pernah berlaku sebelum ini. 

Namun wajar juga ahli bawahan menghitung apakah kemampuan yang ada pada jentera PAS dan juga kewangan parti, terutama PAS yang gigih mengutip sumbangan atas nama jihad dari ahli-ahli bawahan. 

Jika benar PAS hendak bertanding 160 kerusi Parlimen, maka untuk deposit calon dan bahan kempen sahaja sudah mencecah RM2.4 juta iaitu dengan mengambil kira deposit sebanyak RM15 ribu untuk sebuah kerusi Parlimen. Manakala untuk belanja pilihanraya sahaja katakan sekurang-kurangnya sebanyak RM100 ribu bagi sesebuah kerusi (had perbelanjaan yang ditetapkan akta pilihanraya ialah sebanyak RM200 ribu). 

Maka secara keseluruhan yang diperlukan ialah paling kurang sebanyak RM18.4 juta dan  jika perbelanjaan pilihanraya Pas mencapai had maksima yang di tetapkan Spr sebanyak RM200 ribu maka perbelanjaan untuk 160 kerusi Parlimen akan mencecah RM34.40 juta!

4. Saya tahu PAS semasa era sebelum ini memang tidak ada kemampuan kewangan sebesar itu.  Jadi, adakah ahli PAS sanggup untuk bergolok gadai mencari wang sebanyak itu di dalam keadaan diketahui bahawa sasaran bertanding sebanyak 160 kerusi itu adalah sangat tidak realistik? 

Atau adakah terdapat ‘permainan’ lain di sebaliknya? Apatah lagi jika dikaitkan dengan pendedahan yang sedang ‘viral’ sekarang tentang sekurang-kurangnya dua akaun berkaitan PAS yang dikatakan menerima pemindahan wang yang keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta dan dikatakan wang tersebut dimasukkan oleh seorang pemimpin kanan UMNO. 

Jika benar, kenapa PAS menerima duit dari ‘musuh’ politiknya?

5. Saya tak mampu menolak tanggapan bahawa ‘permainan’ sebenar di sebalik segala senario ini adalah dalam rangka untuk memastikan PAS bertanding sebanyak mungkin kerusi bagi memecahkan undi Pakatan Harapan dan seterusnya memberi kedudukan yang selesa kepada UMNO/BN untuk terus berkuasa. 

Apatah lagi sejak pengumuman pembubaran Parlimen minggu lepas kelihatan terdapat gelombang baru sokongan rakyat kepada PH yang dapat disaksikan dengan jelas di daam setiap majlis aktiviti kempen anjuran PH di seluruh negara. Maka satu-satunya ‘trump card’ yang ada pada BN untuk memastikan BN selamat ialah kad berlatarkan bulan bernama PAS!

 6. Justeru, amat malang jika sekiranya rakyat Malaysia yang masih menyimpan harapan kepada PAS terus terpedaya dengan angan-angan kononnya PAS akan masuk dalam PRU 14 untuk menumbangkan kerajaan BN dan tidak melihat mainan sebenar politik PAS yang semakin terserlah niatnya untuk mengekalkan kerajaan kleptopkrasi BN di bawah Dato Seri Najib. 

Undi kepada PAS akan hanya membawa ketidakstabilan politik negara. Jadi rakyat tidak perlu membuang masa dan membazirkan undi dan dengan mengundi parti sebegini. 

Jika rakyat Malaysia benar-benar ingin melihat perubahan yang lebih baik kepada masa depan negara dan mengheret kerajaan BN terutamanya Perdana Menteri untuk bertanggungjawab di atas segala kesusahan dan kerosakan yang dilakukan ke atas rakyat dan negara seperti pengenaan GST, peningkatan kos sara hidup, skandal 1MDB, FELDA dan lain-lain, maka tiada pilihan lain melainkan untuk mengundi parti-parti dari Pakatan Harapan di dalam PRU 14.

DATO’ HJ MAHFUZ HAJI OMAR

Naib Presiden Parti amanah negara

Bekas Ahli Pas 34 Tahun

18 Apr. 2018/2 Sya'ban 1439H.

0 Response to "Tahniah PAS boleh keluar duit RM30 juta untuk PRU14."

Post a Comment