Terkini

Memperingati dua dekad Pondok Pak Ya terbakar.

YAN: Selepas lebih dua dekad, keluarga 27 pelajar Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah yang terkorban dalam kebakaran pada 1989, berkumpul buat pertama kali semalam bagi memperingati kejadian itu.


Dalam kejadian 2.30 pagi pada 22 Sept itu, lapan blok asrama perempuan di sekolah yang lebih dikenali Pondok Pak Ya di Padang Lumat rentung bersama 27 penuntut, manakala enam berjaya menyelamatkan diri dalam keadaan melecur teruk dan kecederaan lain termasuk patah pinggang.


Pengelola Program Memperingati 27 Syuhada Kebakaran Pondok Pak Ya 1989, Mohd Fikri Abd Razak berkata majlis itu bertujuan mengumpulkan buat pertama kali keluarga semua mangsa yang terlibat.


"Hampir tiga bulan saya dan tiga rakan Alumni (Pondok Pak Ya) lain mencari 27 keluarga mangsa tragedi tersebut kerana alamat yang ada tidak lengkap," katanya kepada Bernama, di sini.


Beliau berkata pada majlis itu mereka berpeluang bertemu semula dengan yang lain termasuk yang terselamat dan berkongsi cerita mengenai pengalaman selepas tragedi.


Maklum balas yang diterima daripada ibu bapa dan keluarga mangsa sangat baik dan rata-rata mahukan sekolah mengadakan majlis ini setiap tahun, kata Mohd Fikri.


Majlis itu yang berlangsung di sekolah tersebut dimulakan dengan slot pengkisahan oleh mangsa yang terselamat, diikuti majlis tahlil di pusara 27 yang terkorban.


Selain itu, turut diadakan pameran yang memaparkan gambar mangsa serta laporan berita mengenai tragedi tersebut.


Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat Hartini Awang, 35, berkata program berkenaan membuatkan beliau terkenang ramai kawan karibnya yang terkorban dalam tragedi tersebut.


Katanya beliau nekad meredah api yang marak bagi menyelamatkan diri, mengakibatkannya mengalami lecur di tangan dan muka.


"Selepas berjaya keluar dari asrama itu saya melihat semua lapan bangunan asrama yang kami tinggal terbakar," katanya yang kini bekerja di Jabatan Perangkaan di Sungai Petani.


Yusof Lebai Hassan, 72, pula tidak dapat menahan sebak apabila mengingati adik bongsunya Maryani yang terkorban dalam kejadian itu.


Katanya ketika kejadian, arwah adiknya itu baru berusia 14 tahun.


"Saya masih ingat seminggu sebelum kejadian arwah minta duit belanja kerana dia tak dapat balik ke rumah kami di Sungai Ibor, Gurun," katanya. - BERNAMA

###Ke mana perginya Laporan Suruhanraya yang menyiasat dan memberi pandangan berkaitan sekolah agama rakyat.

***With UMobile, the world will now be your work and play space.****

0 Response to "Memperingati dua dekad Pondok Pak Ya terbakar."

Post a Comment